Sebagai anggota tetap Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), China bertanggungjawab dan berkeupayaan untuk melaksanakan pelbagai resolusi yang diluluskan oleh UNSC termasuk resolusi 2270 mengenai sekatan baharu yang lebih ketat terhadap Republik Rakyat Demokratik Korea (DPRK).
Menteri Luar China, Wang Yi berkata, resolusi tersebut perlu dilaksanakan secara tuntas. Sekatan adalah satu keperluan, tetapi yang lebih mustahak adalah memelihara kestabilan, dan hanya rundingan dapat membuahkan penyelesaian tuntas.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Sidang ke-4 Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) ke-12 di Beijing pagi tadi.
Menurut Wang, situasi semasa di Semenanjung Korea seperti "telur di hujung tanduk" dan sekiranya keadaan tersebut semakin buruk, pasti akan mendatangkan malapetaka kepada semua pihak.
Sebagai jiran terbesar Semenanjung Korea, China tidak akan membiarkan kestabilan semenanjung tersebut serta kepentingan keselamatan China terus terjejas.
Tambah Wang, penyelesaian isu Semenanjung Korea tidak boleh hanya bergantung pada sekatan dan tekanan.
China mencadangkan isu tersebut diselesaikan dengan pendekatan dwi trek, iaitu menggalakkan pewujudan Semenanjung Korea yang bebas daripada nuklear dan penggantian perjanjian gencatan senjata dengan perjanjian damai.
Menyentuh cadangan pihak-pihak lain untuk mengadakan perbincangan tiga pihak, empat pihak bahkan lima pihak, Wang berkata China bersikap terbuka selagi semua cadangan tersebut kondusif bagi rundingan isu nuklear Semenanjung Korea.