Presiden China, Xi Jinping telah menyertai sesi perbincangan dengan delegasi dari provinsi Qinghai tentang laporan kerja kerajaan yang disampaikan Perdana Menteri, Li Keqiang dalam Sidang ke-4 Kongres Rakyat Kebangsaan China ke-12 pada 5 Mac lalu. Presiden Xi, dalam perbincangan selama lebih dua jam setengah pagi semalam, menyatakan keprihatinan beliau terhadap isu-isu melibatkan perlindungan ekologi kawasan punca tiga batang sungai, penempatan semula masyarakat nomad, perubatan, pengusahaan mi tarik atau "ekonomi Lamian", dan bantuan kepada golongan miskin.
Provinsi Qinghai, tempat punca Sungai Yangtze, Sungai Kuning dan Sungai Lancang yang selalu digelar sebagai kawasan punca tiga sungai dan "menara air China". Kawasan seluas lebih 300 ribu kilometer persegi itu dianggap sebagai perintang keselamatan ekologi China. Pada bulan Disember lalu, mesyuarat kerajaan pusat yang dipengerusikan oleh Presiden Xi telah membahas dan meluluskan Projek Rintis Taman Negara Punca Tiga Sungai China. Sehubungan itu, Presiden Xi dalam perbincangan kali ini telah meneliti kemajuan projek itu dan menegaskan bahawa keutamaan perlu diberikan kepada perlindungan ekologi. Menurut beliau, usaha perlu ditingkatkan untuk memastikan kaedah pembangunan dan gaya hidup yang hijau, serta memelihara kawasan punca tiga sungai itu agar airnya sentiasa jernih.
Ketika membicarakan isu penempatan semula masyarakat nomad yang tinggal di lokasi taman tersebut, Presiden Xi mengatakan bahawa tempat kediaman mesti disediakan kepada golongan tersebut supaya kegiatan penternakan mereka dapat diteruskan dengan baik.
Mi tarik yang disebut sebagai Lamian dalam bahasa Mandarin adalah sejenis makanan murah yang menjadi kegemaran ramai pekerja di bandar raya China sering dikaitkan dengan nama Lanzhou, ibu kota provinsi Gansu. Pada hakikatnya, sebelum tahun 2012, kebanyakan restoran Lamian Lanzhou diuruskan oleh orang Qinghai, dan sekarang, terdapat 180 ribu orang Qinghai terlibat dalam perniagaan makanan itu di seluruh China. Dalam perbincangan tentang mi tarik tersebut, Gabenor Qinghai, Hao Peng mempromosikan Lamian Qinghai kepada Presiden Xi. Ketika Presiden Xi menanyakan perbezaan antara Lamian Lanzhou dengan Lamian Qinghai, Hao Peng menjelaskan bahawa kedua-dua makanan itu adalah sama. Menurut Hao, sejak dahulu lagi Lamian Lanzhou dimasak oleh orang Qinghai. Sekarang ada orang antara mereka telah berjaya menjadi usahawan. Qinghai akan membangunkan jenamanya sendiri, termasuk francais seperti restoran Lamian Qinghai yang dibuka di Lapangan Terbang Antarabangsa Ibu Kota Beijing dan Lapangan Terbang Hongqiao Shanghai.