Cari:
China Terus Tingkatkan Usaha Kawal Pencemaran
2016-03-14 14:21:31 CRI Cetak

China telah mencapai hasil yang positif dalam bidang perlindungan alam sekitar pada tahun lalu, dan akan meningkatkan usaha untuk mengawal pencemaran udara, air dan tanah dalam tempoh pelaksanaan Rancangan Pembangunan Lima Tahun ke-13. Dalam pada itu, pihak berkuasa akan terus melaksanakan Undang-Undang Perlindungan Alam Sekitar baharu untuk mendorong pembangunan tamadun ekologi. Demikian dinyatakan oleh Menteri Perlindungan Alam Sekitar China, Chen Jining dalam sidang media baru-baru ini.

Pengawalan pencemaran udara merupakan tugas utama dan cabaran terbesar dalam kerja perlindungan alam sekitar China pada tahun lalu. Walaupun dipengaruhi oleh iklim yang kurang baik, namun dengan semakin intensifnya rawatan air kumbahan, kerja kawalan pencemaran udara mencapai kemajuan yang positif di merata-rata tempat di China. Petunjuk berkenaan turut menunjukkan trend yang menggalakkan.

Dalam tempoh dua tahun lalu, China mengeluarkan Pelan Tindakan Pencegahan Pencemaran Atmosfera dan Pelan Tindakan Pencegahan Pencemaran Air secara berturut-turut, yang menyediakan panduan untuk pengawalan pencemaran udara dan sumber air. Chen menyatakan, kini, Pelan Tindakan Perlindungan Alam Sekitar dan Pengawalan Pencemaran Tanah sudah selesai digubal, dan akan dilaksanakan pada tahun ini selepas mendapat kelulusan. Rancangan itu akan memfokuskan kaedah menguruskan tanah pertanian dan tanah pembinaan yang tercemar.

Laporan kerja kerajaan China pada tahun ini telah menyebut "tiga kemestian" berkaitan pengawalan pencemaran udara dan air, iaitu komited melaksanakan undang-undang perlindungan alam sekitar baharu secara ketat, membanteras pelepasan bahan pencemar yang berlebihan dan tanpa izin, serta menghukum pihak yang bersalah. Chen menyatakan, menurut laporan kerja kerajaan tahun ini, kementeriannya akan berusaha dalam lima aspek, iaitu: melaksanakan pelan tindakan pengawalan pencemaran udara, air dan tanah dengan berkesan; mengutamakan kerja pencegahan pencemaran; menyelesaikan masalah yang dihadapi dalam proses penyelesaian isu alam sekitar dan menghapuskan halangan dalam mekanisme berkenaan melalui dasar pembaharuan; menangani pelepasan yang menyalahi undang-undang; dan membina pasukan perlindungan alam sekitar secara profesional.

Tambah Chen, setelah undang-undang perlindungan alam sekitar dilaksanakan selama lebih setahun, kerja perlindungan alam sekitar tetap berdepan dengan beberapa kesukaran termasuk tanggungjawab kerajaan tempatan belum dilaksanakan dengan sempurna, terdapat syarikat yang melanggar undang-undang berkenaan, dan keupayaan penguatkuasaan peringkat akar umbi masih lemah. Oleh itu, kementeriannya akan terus berusaha menguatkuasakan undang-undang alam sekitar supaya kerajaan pelbagai peringkat dapat memenuhi tanggungjawab masing-masing dan memastikan syarikat mematuhi undang-undang.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China