Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov membincangkan krisis Syria dengan rakan sejawatnya dari Amerika Syarikat (AS) dan Arab Saudi melalui telefon semalam.
Menurut laman web Kementerian Luar Rusia, ketika menghubungi Setiausaha Negara AS, John Kerry, kedua-dua pemimpin berbincang untuk meningkatkan penyelarasan dalam krisis Syria agar perjanjian gencatan senjata Syria dapat diperkukuh dan menghalang tindakan yang melanggar perjanjian tersebut serta memperluas akses bantuan kemanusiaan demi menggalakkan penyelesaian krisis Syria. Kedua-dua pemimpin bersetuju untuk meneruskan rundingan mengenai isu yang menjadi tumpuan bersama kedua-dua negara dalam lawatan Kerry ke Moscow pada minggu depan.
Dalam perbincangan dengan Sergei Lavrov, Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir menyanjungi keputusan Rusia untuk mengundurkan tenteranya dari Syria serta menyatakan sokongan Arab Saudi terhadap semua tindakan yang telah diambil bagi memastikan pelaksanaan perjanjian gencatan senjata dapat terus dilaksanakan, di samping memerangi kumpulan pengganas.