Masyarakat antarabangsa mengutuk sekeras-kerasnya tiga letupan bom terancang yang menggegarkan Lapangan Terbang Zaventem dan stesen kereta api metro di Brussels, Belgium semalam, yang meragut sekurang-kurangnya 34 nyawa tidak berdosa dan mencederakan 200 orang lagi.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon dalam kenyataan menerusi jurucakapnya mengecam insiden berdarah itu dan menyampaikan rasa simpati dan duka cita kepada keluarga mangsa.
Beliau menggesa sebarang tindakan diambil dengan segera bagi memburu suspek yang bertanggungjawab terhadap insiden itu, sekali gus mengheret mereka ke muka pengadilan.
Dalam perkembangan yang sama, kerajaan China turut menyelar serangan ganas tersebut dan menzahirkan rasa simpati terhadap mangsa dan anggota keluarga yang terbabit.
Jurucakap Kementerian Luar China, Hua Chunying berkata, pada saat yang amat menyedihkan ini, Beijing berdiri teguh dengan keluarga mangsa, kerajaan dan rakyat Belgium serta bersedia untuk menggembleng tenaga dalam operasi memerangi keganasan demi kedamaian dan keselamatan dunia.
Hua juga memaklumkan, tiada rakyat China yang terlibat dalam insiden letupan bom di Brussels, namun Kedutaan Besar China di Belgium akan terus memantau situasi semasa.
Dalam pada itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama yang sedang melakukan lawatan ke Cuba berikrar akan "melakukan apa-apa yang perlu" bagi membantu Belgium dan mengheret penjenayah ke muka pengadilan.
Beliau berkata, serangan itu adalah satu lagi peringatan bahawa dunia perlu bersatu padu dalam menentang keganasan.
Selain itu, para pemimpin EU juga menyatakan perasaan terkejut mereka berikutan serangan tersebut dan menggesa kerjasama semua pihak dalam usaha memerangi keganasan di Eropah.