Pendakwa Raya Belgium mengumumkan, mereka mendakwa tiga lelaki dengan kesalahan keganasan berhubung insiden pengebom nekad di lapangan terbang dan stesen kereta api bawah tanah di Brussels, 22 Mac lalu.
Pendakwa persekutuan berkata, lelaki dikenali pasti sebagai Faycal C, yang ditahan Khamis lalu, didakwa dengan "pembabitan dalam kumpulan pengganas, pembunuhan dan cubaan membunuh".
Menurut media Belgium, suspek itu dikenal sebagai Faycal Cheffou, lelaki yang memakai ves terang dan topi dalam video keselamatan dengan dua lelaki yang meletupkan diri di lapangan terbang. Pendakwa tidak mengesahkan laporan media itu.
Dua lagi suspek yang ditahan Khamis lalu dan dikenal pasti sebagai Raba N dan Aboubakar A didakwa terbabit dalam aktiviti kumpulan pengganas.
Dalam perkembangan sama, pihak berkuasa lapangan terbang berkata, penerbangan tidak akan diteruskan sebelum Selasa ketika mereka sedang menilai kerosakan akibat letupan serentak dalam terminal itu awal minggu ini.
Pihak berkuasa selesai melakukan siasatan di tempat kejadian di lapangan terbang itu dan akan membenarkan jurutera masuk ke dalam bangunan bagi memeriksa keselamatan struktur dan sistem teknologi maklumat serta jika kerosakan dapat dibaiki segera.