Hampir 250,000 orang penduduk daerah Kumamoto di selatan Jepun terpaksa diatur berpindah berikutan bimbang berlaku gegaran susulan, dengan pasukan penyelamat menggandakan usaha mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi di pulau Kyushu.
Semalam, gempa kedua berukuran 7.3 pada skala Ritcher melanda daerah Kumamoto selepas gegaran pertama berlaku lewat Khamis lalu yang mengorbankan sembilan orang.
Selain menyebabkan beratus-ratus buah kediaman, jalan raya dan jambatan rosak, jumlah korban yang direkodkan akibat bencana itu setakat ini ialah seramai 35 orang, manakala ribuan yang lain dilaporkan cedera.
Hujan lebat yang berterusan memburukkan lagi keadaan dan kemungkinan lebih banyak kejadian tanah runtuh berlaku dan gempa berulang ketika ribuan mangsa yang terselamat terpaksa bermalam di pusat-pusat pemindahan sementara.
Bencana itu turut menyebabkan beberapa syarikat gergasi Jepun termasuk Sony, Honda dan Toyota di selatan negara ini bertindak menghentikan pengeluaran mereka buat sementara waktu.