China bersedia untuk bersama-sama dengan Rusia bagi melaksanakan konsensus yang telah dicapai oleh pemimpin kedua-dua negara, menggalakkan pertukaran lawatan peringkat tinggi, sekali gus mendorong hubungan dan kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang mencapai kemajuan baharu.
Demikian dinyatakan oleh Menteri Luar China, Wang Yi ketika bertemu dengan rakan sejawatnya dari Rusia, Sergei Lavrov semasa menghadiri Mesyuarat Menteri Luar Sidang Kemuncak Asia Timur ke-6 (EAS FMM ke-6) di Vientiane, Laos semalam.
Tambah beliau, pemeteraian tiga kenyataan bersama bagi mengukuhkan kestabilan strategik global oleh kedua-dua pihak semasa kunjungan Presiden Vladimir Putin ke China bulan lalu, bukan sahaja memperkasakan perkongsian kerjasama strategik komprehensif antara China dengan Rusia, malah signifikan demi menggalakkan situasi antarabangsa berkembang secara sihat dan stabil.
Lavrov juga menyanjung tinggi hasil lawatan itu. Beliau berkata, lawatan kali ini akan tercatat dalam lipatan sejarah kerana kenyataan bersama dan dokumen-dokumen kerjasama pragmatik yang ditandatangani dalam lawatan tersebut adalah bukti pendirian bersama kedua-dua pihak untuk memajukan lagi hubungan dua hala.
Kedua-dua pihak juga sebulat suara menekankan perlunya sentiasa berwaspada terhadap percubaan kuasa-kuasa luar untuk mencetuskan ketegangan di rantau ini dengan pelbagai helah, selain bertukar-tukar pendapat tentang Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) di Hangzhou, Sidang Kemuncak APEC, isu-isu Semenanjung Korea dan situasi di Asia Timur.