Cari:
Sidang Kemuncak G20 Diharap Cipta Wawasan Baharu Tadbir Urus Ekonomi Global
2016-08-16 14:30:08 CRI Cetak

Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) ke-11 bakal diadakan di bandar Hangzhou, provinsi Zhejiang, timur China pada 4 hingga 5 September ini. Presiden China, Xi Jinping akan mempengerusikan sidang kemuncak tersebut. Kini, kerja-kerja persiapan berjalan dengan lancar. China berharap sidang kemuncak ini dapat mencipta wawasan baharu sekali gus menyediakan daya penggerak baharu kepada pertumbuhan ekonomi dunia, kerjasama ekonomi antarabangsa dan tadbir urus ekonomi global.

Sidang Kemuncak G20 di Hangzhou merupakan aktiviti diplomatik paling penting yang diadakan di China pada tahun ini, dan juga persidangan antarabangsa dihoskan China yang paling berprestij, paling besar skopnya dan paling luas impaknya pada beberapa tahun kebelakangan ini.

Dalam taklimat media Kementerian Luar China semalam, Naib Menteri Luar, Li Baodong menyatakan bahawa China bersedia untuk melakukan sinergi dengan semua pihak bagi memastikan persidangan tersebut membuahkan hasil yang dihasratkan.

China mengharapkan cetak biru pertumbuhan G20 dapat digariskan untuk menyelesaikan masalah pertumbuhan ekonomi dunia yang masih lemah secara tuntas, di samping mempercepat pembaharuan struktur ke arah merealisasikan pertumbuhan yang kukuh, mampan dan seimbang.

Dalam pada itu, langkah-langkah yang lebih proaktif perlu dilakukan untuk membaiki tadbir urus ekonomi global, menggalakkan pembaharuan institusi kewangan antarabangsa dan memperkasakan kerjasama dalam bidang kewangan, percukaian, sumber tenaga dan antirasuah, selain memacu perdagangan dan pelaburan melalui penyusunan strategi pertumbuhan perdagangan dan panduan pelaburan global.

China juga berharap dapat mengintensifkan kerjasama dalam menerajui pelaksanaan Agenda Pembangunan Mampan 2030, serta menyokong pengindustrian Afrika untuk membuka prospek baharu pembangunan bersama semua negara membangun.

Sidang kemuncak G20 yang bertemakan "Wujudkan Ekonomi Dunia yang Inovatif, Dinamik, Saling Hubung dan Inklusif" ini akan tertumpu pada isu-isu paling menonjol dalam ekonomi global.

Naib Menteri Kewangan China, Zhu Guangyao menyatakan bahawa tema persidangan tersebut bukan sahaja mencerminkan kebijaksanaan China, malah memperlihatkan hala tuju pembangunan dunia serta selaras dengan keperluan objektif untuk mencari daya penggerak baharu ekonomi global.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China