Cari:
Mesyuarat Pegawai Kanan DOC Buahkan Hasil
2016-08-17 13:18:21 CRI Cetak

China dan negara-negara ASEAN mengadakan mesyuarat pegawai kanan ke-13 mengenai pelaksanaan Deklarasi Tatalaku Pihak-pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DOC) di Mongolia Dalam, utara China semalam. Para peserta bersepakat untuk melaksanakan sepenuhnya DOC, menyelesaikan pertikaian secara damai melalui rundingan, menangani perselisihan dalam rangka peraturan serantau dan memperkasakan kerjasama maritim.

Mereka juga bersetuju untuk mempercepat rundingan tentang Kod Tatalaku di Laut China Selatan (COC) agar drafnya dapat dimuktamadkan menjelang pertengahan tahun depan.

Mesyuarat pegawai kanan mengenai pelaksanaan DOC merupakan platform penting bagi China dan ASEAN mengadakan dialog dan kerjasama berhubung isu Laut China Selatan. Mesyuarat kali ke-13 ini, yang diadakan selepas kes timbang tara Laut China Selatan yang dibangkitkan Filipina dihakimi mahkamah di The Hague, menjadi tumpuan masyarakat antarabangsa.

Naib Menteri Luar China, Liu Zhenmin menyifatkan mesyuarat tersebut membuahkan hasil yang diingini berkat sinergi semua pihak.

Menurut beliau, pihak-pihak terlibat bersetuju untuk melaksanakan pelbagai peraturan yang termaktub dalam DOC dengan bersungguh-sungguh demi memelihara keamanan dan kestabilan serta kebebasan pelayaran dan penerbangan di Laut China Selatan.

Dalam mesyuarat pegawai kanan ke-12 pada Jun lalu, para peserta bertukar-tukar pendapat tentang usaha mempercepat penggubalan garis panduan platform talian utama antara pegawai kanan diplomatik bagi menangani kontingensi maritim serta kaedah untuk melaksanakan Peraturan Pertemuan Tidak Dijangka secara lebih baik di Laut China Selatan.

Liu menyatakan bahawa mesyuarat kali ini telah meluluskan dokumen berkaitan dengan kedua-dua topik tersebut, yang akan diserahkan kepada Sidang Kemuncak China-ASEAN pada September untuk dibahaskan. Di samping itu, rundingan berhubung COC juga mecapai kemajuan.

Tahun ini merupakan ulang tahun ke-25 terjalinnya hubungan dialog China-ASEAN. Dalam tempoh 25 tahun lalu, kerjasama antara kedua-dua pihak dalam pelbagai bidang mencapai kemajuanmemberangsangkan, yang turut menggalakkan keamanan dan kestabilan serantau.

Liu menegaskan bahawa isu Laut China Selatan bukan masalah antara China dengan ASEAN. Kedua-dua pihak kini sudah menyedari bahawa kunci penyelesaian pertikaian berkenaan terletak di tangan sendiri serta pentingnya memperkukuh kerjasama dalam rangka kerja DOC.

Setiausaha Tetap Kementerian Luar Singapura, negara penyelaras hubungan China-ASEAN, Chee Wee Kiong pula menyatakan bahawa penyelesaian isu Laut China Selatan secara damai bermanfaat bagi perkembangan hubungan kerjasama yang saling menguntungkan antara ASEAN dengan China, dan juga kondusif bagi keamanan dan kestabilan Laut China Selatan. Dalam pada itu, pelaksanaan DOC secara menyeluruh dan berkesan akan menyediakan jaminan penting untuk usaha murni tersebut.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China