Cari:
Laluan Sutera Maritim Jana Ekonomi Serantau
2016-08-17 15:17:13 CRI Cetak

Forum Perniagaan Serantau yang bertemakan "Laluan Sutera Maritim Abad Ke-21" diadakan di Singapura semalam. Forum itu disertai lebih 500 perwakilan dari 38 buah negara dan penganjurannya mendapat sokongan padu Kedutaan Besar China di Singapura.

Duta Besar China ke Singapura, Chen Xiaodong menyatakan bahawa inisiatif "Jalur dan Laluan" (B&R), iaitu Jalur Ekonomi Laluan Sutera dan Laluan Sutera Maritim Abad Ke-21, yang berprinsipkan berunding bersama, membangun bersama dan berkongsi, mendapat sambutan baik daripada negara-negara serantau. Kata beliau, "Dengan termeterainya perjanjian kerjasama antara China dengan lebih 10 buah negara yang terlibat dalam inisiatif tersebut, rangka kerja Laluan Sutera Maritim Abad Ke-21 semakin lengkap. Sementara itu, jaringan kesalinghubungan diwujudkan secara beransur-ansur melalui pelbagai projek termasuk landasan kereta api laju Jakarta-Bandung dan landasan kereta api yang menghubungkan China dengan Thailand dan Laos. Di samping itu, usaha merancakkan kesalinghubungan maritim juga bakal diintensifkan."

Presiden Persatuan Diplomasi Awam China yang juga mantan Menteri Luar China, Li Zhaoxing dalam ucapannya pada forum itu menyatakan bahawa inisiatif untuk membangunkan Laluan Sutera Maritim Abad Ke-21 hasil warisan persahabatan yang sudah lama terjalin antara rakyat negara-negara serantau. Kata beliau, "Laluan merentasi benua Asia, Afrika dan Eropah yang berusia lebih 2,000 tahun ini telah menyemai benih-benih persahabatan dan menerajui pembangunan masyarakat setempat, sekali gus meninggalkan khazanah budaya yang amat bernilai."

Menurut beliau, inisiatif B&R yang dikemukakan China pada tahun 2013 adalah kesinambungan bagi khazanah budaya tersebut. Kata beliau, "China telah memeterai perjanjian kerjasama berhubung B&R dengan 34 buah negara dan pertubuhan antarabangsa setakat ini, selain menjalin kerjasama kapasiti pengeluaran dengan lebih 20 buah negara. Di samping itu, syarikat China telah membuat pelaburan melebihi USD 14 bilion di negara-negara sepanjang laluan sutera tersebut, yang mencipta sebanyak 60 ribu peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan."

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China