Cari:
PBB Gesa Gencatan Senjata Diwujudkan di Syria
2016-08-19 15:07:59 CRI Cetak

Sempena sambutan Hari Kemanusiaan Sedunia pada 19 Ogos ini, utusan khas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi isu Syria, Staffan de Mistura menggesa pihak-pihak yang bertelagah di Syria mewujudkan gencatan senjata sementara selama 48 jam di Aleppo, utara negara itu bagi memberi akses kepada penyaluran bantuan kemanusiaan ke wilayah berkenaan.

Sejak rundingan damai Syria digantung pada April lalu, Staffan de Mistura aktif menjalankan usaha pengantaraan bagi memulihkan rundingan tersebut. Sementara itu, dua kumpulan kerja yang bertanggungjawab mengendalikan bantuan kemanusiaan dan gencatan senjata juga mengadakan mesyuarat sebanyak beberapa kali untuk membincangkan situasi semasa di Syria. Namun, pada pagi semalam, Staffan de Mistura tiba-tiba mengumumkan mesyuarat kumpulan kerja mengenai bantuan kemanusiaan yang dijadualkan pada pagi itu ditangguhkan. Dalam taklimat media selepas itu, beliau berkata,

"Keputusan untuk menunda mesyuarat tersebut adalah bagi menyuarakan kebimbangan terhadap kemelut Syria serta penghormatan terhadap Hari Kemanusiaan Sedunia kerana konflik yang berlarutan telah menyebabkan bantuan kemanusiaan sukar dihantar ke negara itu."

Beliau bagi pihak Setiausaha Agung, Ban Ki-moon menggesa agar gencatan senjata sementara dilakukan segera di Aleppo.

"PBB akan meneruskan gesaan supaya gencatan senjata selama 48 jam dikuatkuasakan bagi memberi laluan kepada misi bantuan ke wilayah yang terkepung, termasuk kawasan timur dan barat Aleppo."

Beliau turut menegaskan ketidakwajaran campur tangan Rusia dan Amerika Syarikat (AS) dalam krisis Syria, dengan menyatakan rakyat Syria mengharapkan perubahan melalui usaha diplomatik, bukannya melalui pendekatan kekerasan.

Kementerian Pertahanan Rusia telah menyatakan sokongan terhadap cadangan gencatan senjata yang dikemukakan oleh Staffan de Mistura. Dalam pada itu, PBB berharap agar Rusia, AS dan negara-negara berpengaruh yang lain memainkan peranan sewajarnya untuk menggalakkan pelaksanaan gencatan senjata di Syria serta memastikan puak pembangkang mematuhi persetujuan berkenaan.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China