Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon mengutuk serangan keganasan yang membabitkan seorang pengebom berani mati remaja dalam satu majlis perkahwinan di bandar Gaziantep, Turki pada Sabtu lalu, hingga meragut 51 nyawa dan mencederakan berpuluh-puluh lagi.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan jurucakapnya semalam, Ban melahirkan rasa simpati dan mengucapkan takziah kepada anggota keluarga mangsa serta kerajaan dan rakyat Turki.
Beliau juga berharap agar mangsa-mangsa yang cedera akan segera pulih seperti sedia kala.
Ban menggesa supaya tindakan undang-undang dikenakan kepada penjenayah sebenar, sekali gus menegaskan bahawa pelbagai usaha perlu ditingkatkan bagi mencegah dan memerangi keganasan di peringkat rantau serta antarabangsa.