Pada hari yang sama, rundingan damai antara pihak kerajaan dengan Front Demokrasi Nasional (NDF) yang merupakan kumpulan pemberontak di bawah pimpinan Parti Komunis Filipina telah disambung semula di Oslo, Norway. Rundingan damai tersebut bertujuan untuk menamatkan kegiatan bersenjata antikerajaan yang telah berlarutan selama berpuluh-puluh tahun oleh Parti Komunis Filipina dan Tentera Rakyat Baharu (NPA) yang dipimpinnya.
Penganalisis berkata, dalam tempoh tidak sampai dua bulan sejak menyandang jawatan Presiden Filipina, Duterte telah mencapai kejayaan peringkat awal dalam usaha memerangi penyalahgunaan dadah dan menyelesaikan isu kumpulan pemberontak melalui rundingan damai.
Menurut pihak polis Filipina, pada 1 Julai hingga 18 Ogos lalu, seramai 667 orang pesalah yang terlibat dalam jenayah dadah telah ditembak mati oleh pihak polis dalam operasi memerangi jenayah dadah di seluruh negara, manakala, 899 orang lagi "pengedar dadah" ditembak mati oleh mereka yang bukan anggota tentera dan polis. Kadar jenayah di Filipina menurun secara mendadak, iaitu sebanyak 49% pada bulan Julai lalu.
Namun begitu, tindakan tegas yang diambil Duterte dalam menangani jenayah dadah itu turut mengundang beberapa kesan yang negatif bahkan menimbulkan kritikan dari masyarakat antarabangsa. PBB dan beberapa pertubuhan hak asasi manusia mencela hukuman mati terhadap suspek penyeludup dadah dan penagih dadah dilaksanakan tanpa melalui prosedur perundangan berikutan tindakan Duterte yang amat tegas. Dengan ini, PBB dan pertubuhan berkenaan menggesa Duterte mengubah dasar antidadahnya. Selain itu, suara media tempatan Filipina yang membantah tindakan antidadah Duterte juga semakin lantang kerana mereka bimbang segelintir orang akan memeras ugut wang dengan menyalahgunakan dasar antidadah tersebut.