Mesyuarat Menteri Luar China, Jepun dan Korea Selatan ke-8 diadakan di Tokyo semalam. Menteri Luar China, Wang Yi, Menteri Luar Jepun, Fumio Kishida dan Menteri Luar Korea Selatan, Yun Byung-se menyertai mesyuarat itu. Mesyuarat kali ini amat menarik perhatian masyarakat antarabangsa berikutan perkembangan hubungan ketiga-tiga negara ini menghadapi beberapa masalah sekarang.
Penganalisis berpendapat, sebagai tiga buah negara yang paling berpengaruh di Asia Timur Laut, hubungan antara China, Jepun dan Korea Selatan akan melahirkan impak yang amat besar dan mendalam terhadap situasi serantau. Usaha mengawal perselisihan, mencapai persepakatan dan menggalakkan kerjasama amat penting bagi mewujudkan keselamatan, kestabilan dan kemakmuran Asia Timur Laut.
Wang Yi menyatakan bahawa ketiga-tiga negara ini perlu mengharungi kesukaran dan menghapuskan gangguan berdasarkan semangat melihat fakta sejarah dengan tepat dan memandang ke masa depan, di samping mencapai persepakatan dan memfokuskan kepada kerjasama bagi memastikan kerjasama ketiga-tiga negara berkembang ke arah yang betul. Menurut Wang, ketiga-tiga negara ini juga perlu meningkatkan kesalingpercayaan politik, menjalankan kerjasama pragmatik, memperluas pertukaran di kalangan rakyat untuk mengintensifkan kerjasama ketiga-tiga negara dan menyuntik tenaga baharu ke dalam kerjasama Asia Timur.
Fumio Kishida dan Yun Byung-se menyatakan bahawa kerjasama antara tiga negara ini berfaedah kepada kedamaian, kestabilan dan kemakmuran rantau ini. Selepas sidang kemuncak pada tahun lalu, ketiga-tiga negara berusaha melaksanakan persepakatan sidang itu dan kerjasama telah membuahkan hasil. Ketiga-tiga negara ini perlu terus memperkasakan kerjasama dan memberikan sumbangan bagi memperbaiki hubungan dua hala.
Dalam mesyuarat kali ini, ketiga-tiga pihak telah mencapai persepakatan mengenai mempercepat rundingan kawasan perdagangan bebas, meningkatkan komunikasi dan penyelarasan dalam beberapa sidang antarabangsa yang bakal diadakan pada tahun ini, dan berusaha menyediakan syarat mustahak bagi Sidang Kemuncak China, Jepun dan Korea Selatan menjelang penghujung tahun ini.
Penasihat menyatakan bahawa mesyuarat menteri luar kali ini bertujuan memelihara kedamaian dan kestabilan rantau ini, memelihara kerjasama ketiga-tiga negara dan menyokong integrasi rantau Asia Timur. Maka, para peserta diharap dapat memandang ke masa depan. Tindakan mengejar kepentingan politik sepihak sahaja akan membelakangi hasrat kerjasama ketiga-tiga pihak.