Cari:
Harapan Tipis TPPA Mendapat Pengesahan Kongres AS
2016-08-26 15:24:30 Agensi Berita Xinhua China Cetak
Presiden Amerika Syarikat(AS), Barak Obama sedang mengerahkan semua anggota kabinetnya memujuk Kongres AS untuk mengesahkan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik(TPPA) selepas pilihan raya Presiden AS yang dijadualkan diadakan pada bulan November tahun ini agar kesan dasar perdagangan yang diamalkannya di rantau Asia-Pasifik dapat diperkukuh.

Namun begitu, harapan TPPA mendapat pengesahan Kongres AS sangat tipis berikutan perselisihan yang wujud di negara itu dan tentangan yang dikemukakan calon-calon presiden dari Parti Republikan dan Parti Demokrat. Di samping itu, pemimpin peringkat tinggi Parti Republikan yang mengawal Senat dan Dewan Perwakilan AS juga meluahkan rasa ketidakpuasan hati terhadap beberapa fasal dalam TPPA.

Melalui rundingan yang berlarutan selama lima tahun, 12 buah negara termasuk AS, Jepun, Australia, Kanada, Mexico, Singapura, Brunei Darussalam, Vietnam dan Malaysia telah mencapai konsensus tentang TPPA pada bulan Oktober tahun lalu dan menandatangani secara rasmi perjanjian itu pada bulan Februari tahun ini. Walau bagaimanapun, masyarakat umum AS tidak begitu mengetahui dan memahami TPPA kerana perjanjian itu merangkumi banyak kandungan yang tidak terlibat dalam perjanjian perdagangan tradisi.

Percanggahan pendapat mengenai TPPA masih wujud dalam pelbagai sektor AS kerana industri pertanian dan industri makanan AS dijangka akan memperoleh faedah paling besar daripada penandatanganan TPPA, industri perkhidmatan negara itu juga akan mendapat faedah yang ketara, manakala, industri perkilangan, industri sumber tenaga dan sumber alam negara itu akan mengalami kerugian.

Kerajaan Obama berpendapat, TPPA membawa makna yang penting baik dari segi strategi, mahupun dari segi ekonomi. TPPA bukan sahaja akan membantu AS meneroka pasaran baharu di rantau Asia-Pasifik, bahkan dapat menggubal peraturan perdagangan yang baharu di rantau ini. Hal ini amat penting bagi memastikan AS mengekalkan kedudukan pimpinannya dalam penggubalan peraturan perdagangan.

Bagaimanapun, rancangan Obama tersebut mendapat tentangan daripada Donald Trump, calon presiden dari Parti Republikan dan Hillary Clinton, calon presiden dari Parti Demokrat. Trump menyifatkan TPPA sebagai "satu malapetaka" kerana akan memusnahkan industri perkilangan AS. Beliau berjanji tidak akan mengadakan rundingan perdagangan dengan sekumpulan negara yang lain. Hillary yang pernah menyokong TPPA sebelum ini juga mengubah pendiriannya dan komited menentang TPPA jika beliau dipilih sebagai Presiden AS.

Oleh yang demikian, TPPA mungkin akan diketepikan dalam jangka masa yang panjang.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China