Cari:
China dan AS Kekalkan Kerjasama
2016-09-04 13:03:33 CRI Cetak

Presiden China Xi Jinping dan rakan sejawatnya dari Amerika Syarikat (AS), Barack Obama telah mengadakan pertemuan di Hangzhou semalam.

Kedua-dua pemimpin telah bertukar-tukar pendapat secara mendalam, mesra serta mencapai konsensus mengenai hubungan dua hala dan isu-isu antarabangsa dan rantau yang menjadi tumpuan bersama.

Xi Jinping menyatakan bahawa China menyanjung kerjasama dan sokongan AS terhadap China sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20). China bersedia untuk bersama-sama dengan AS dan pihak-pihak yang terlibat memastikan sidang kali ini mencapai hasil positif bagi menyuntik daya kekuatan dan merangsang keyakinan ekonomi dunia.

Menurut Xi Jinping, China dan AS adalah pihak yang paling awal meratifikasi Persetujuan Paris dan menyerahkan dokumen berkenaan kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Kedua-dua pihak akan terus memperluas kerjasama pragmatik dalam pelbagai bidang, antaranya termasuklah penjimatan tenaga dan pengurangan pelepasan gas rumah hijau, sumber tenaga bersih, jaringan elektrik pintar, pelabuhan hijau dan bandar rendah karbon.

Dalam pertemuan itu, Xi Jinping juga menyatakan bahawa China bersunguh-sungguh memelihara kedaulatan dan keutuhan wilayah, di samping menentang sekeras-kerasnya sebarang tindakan yang cuba memisahkan Taiwan daripada Tanah Besar China. China berharap agar AS mematuhi dasar Satu China dan prinsip tiga pengumuman bersama China-AS serta mengambil tindakan yang praktikal bagi mengekalkan keharmonian hubungan Tanah Besar China-Taiwan dan kerjasama bilateral China-AS.

Obama pula menyatakan bahawa tindakan AS dan China yang mendahului pihak-pihak lain dalam Persetujuan Paris mencerminkan pengaruh kerjasama kedua-dua negara berkenaan. AS bersedia untuk menjalinkan kerjasama penguatkuasaan undang-undang dengan China dalam usaha memerangi jenayah rentas sempadan, mengadakan perbincangan lanjut dalam bidang ekonomi, perdagangan dan pelaburan serta meningkatkan kerjasama dengan China dalam bidang keselamatan serantau dan global.

Ketika membicarakan isu Taiwan, Obama menyatakan bahawa dasar Satu China yang dijalankan oleh AS tidak pernah berubah, bahkan turut menentang sebarang tindak-tanduk yang cuba mewujudkan "Kemerdekaan Taiwan". Selain itu, AS juga mengiktiraf Tibet sebagai wilayah China.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China