Cari:
CAEXPO, CABIS Galas Misi B&R
2016-09-12 16:15:41 CRI Cetak

Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) dan Sidang Kemuncak Perdagangan dan Pelaburan China-ASEAN (CABIS) ke-13 dirasmikan di Nanning, Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi semalam. CAEXPO dan CABIS yang bertemakan "Gabung Tenaga Bina Laluan Sutera Maritim Abad Ke-21, Bentuk Komuniti Berkongsi Nasib China-ASEAN yang Lebih Kukuh" itu menggalas misi penting untuk meningkatkan sinergi China-ASEAN dalam usaha menjayakan inisiatif "Jalur dan Laluan" (B&R).

Naib Perdana Menteri China, Zhang Gali; Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Xuan Phuc; Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen; Timbalan Presiden Myanmar, Myint Swe; Timbalan Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone; Timbalan Perdana Menteri Thailand, Prajin Juntong; dan Setiausaha Agung ASEAN, Le Luong Minh menghadiri ekspo tersebut.

Zhang Gaoli ketika menyampaikan ucaptama pada majlis perasmian telah mengimbas kembali kemajuan yang dicapai dalam kerjasama China-ASEAN sejak kedua-dua pihak menjalinkan hubungan dialog 25 tahun lalu, khususnya dalam tempoh tiga tahun selepas China mengemukakan inisiatif B&R.

Zhang menyifatkan projek pembinaan Laluan Sutera Maritim Abad Ke-21 sebagai kesempatan baharu dan penggerak baharu dalam memperluas kerjasama saling menguntungkan antara China dengan ASEAN. Dalam pada itu, CAEXPO dan CABIS memikul misi yang penting.

Beliau menyarankan supaya strategi pembangunan China dan ASEAN dapat disepadukan, selain kerjasama dalam kapasiti pengeluaran, ekonomi dan perdagangan, kesalinghubungan, kewangan serta sosiobudaya terus dirancakkan demi manfaat rakyat kedua-dua pihak.

Beliau turut menegaskan perlunya mempercepat penaiktarafan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN(CAFTA) sehingga membuahkan hasil. Di samping itu, China akan membina zon rintis inovasi perdagangan import antarabangsa dan platform e-dagang rentas sempadan di Guangxi serta menggalakkan pengimportan lebih banyak komoditi dari negara-negara ASEAN supaya rakyat kedua-dua pihak mendapat keuntungan berganda.

Vietnam merupakan negara tema bagi CAEXPO kali ini. Perdana Menteri, Nguyen Xuan Phuc dalam ucapannya menyatakan bahawa ekspo tersebut sekali lagi mencerminkan kedudukan penting ekonomi China khususnya ekonomi Guangxi. Negara-negara ASEAN termasuk Vietnam menaruh sepenuh keyakinan terhadap potensi, peluang dan prospek kerjasama ekonomi dan perdagangan antara ASEAN dengan China.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China