Cari:
Hillary Bergelut Krisis Kredibiliti
2016-09-12 17:28:17 CRI Cetak

Proses pengundian pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) dimulakan selepas para pengundi di negeri North Carolina diizinkan membuang undi melalui mel pada 9 September lalu.

Menjelang pilihan raya tersebut, isu kredibiliti calon Presiden daripada Parti Demokrat, Hillary Clinton menjadi perhatian umum. Selain bergelut dengan skandal berhubung penggunaan pelayan emel peribadi untuk urusan rahsia kerajaan, hasil siasatan terkini juga menunjukkan Hillary disyaki menyediakan "layanan istimewa" kepada penderma Yayasan Clinton semasa menyandang jawatan Setiausaha Negara AS.

Skandal-skandal yang terbongkar itu bukan sahaja memudarkan harapan Hillary untuk memenangi pilihan raya, malah menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat AS terhadap penyalahgunaan kuasa oleh ahli politik untuk kepentingan peribadi.

Berhadapan dengan tekanan yang begitu besar, mantan Presiden AS, Bill Clinton baru-baru ini menyatakan bahawa jika isterinya Hillary dipilih sebagai Presiden, Yayasan Clinton tidak akan menerima lagi sumbangan dari negara-negara asing dan perusahaan, dan beliau sendiri juga akan meletakkan jawatan dalam lembaga pengarah yayasan tersebut.

Yayasan berkenaan ditubuhkan oleh Clinton selepas beliau menamatkan dua penggal perkhidmatan sebagai presiden pada tahun 2001, dengan memberi fokus kepada kemajuan kesihatan global, isu perubahan iklim dan masalah ketidakseimbangan pembangunan ekonomi dunia.

Hillary pula menyertai lembaga pengarah yayasan tersebut selepas tamat tempoh jawatannya selaku Setiausaha Negara. Namun, beliau berundur daripada yayasan amal itu selepas mengumumkan keputusan untuk bertanding dalam pilihan raya Presiden pada tahun lepas.

Menurut statistik, Yayasan Clinton telah menerima sumbangan kira-kira USD2 bilion setakat ini. Bagaimanapun, menurut bil cukai bagi tahun 2014, yayasan tersebut hanya memberikan sumbangan berjumlah USD5 juta kepada pertubuhan lain pada tahun itu, sedangkan perbelanjaan untuk operasinya sendiri mencatat USD91 juta. Selain itu, muncul juga suara yang mempersoalkan perbuatan yayasan tersebut menerima sumbangan daripada kerajaan dan perusahaan asing.

Walaupun belum terdapat bukti kukuh berhubung penglibatan Hillary dalam kegiatan haram berkenaan Yayasan Clinton, namun beliau tetap didakwa pernah memberikan layanan istimewa kepada penderma yayasan tersebut apabila penolong kanannya di Jabatan Negara, Huma Abedin didapati mempunyai hubungan rapat dengan yayasan berkenaan.

Menurut hasil tinjauan pendapat umum pula, walaupun populariti Hillary jauh lebih tinggi daripada Donald Trump, namun kelebihannya sudah jatuh kepada 3% daripada hampir 8% pada awal bulan Ogos.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China