Cari:
Pelaksanaan Gencatan Senjata Syria Berdepan Kesukaran
2016-09-13 14:57:16 Agensi Berita Xinhua China Cetak

Perjanjian gencatan senjata Syria, hasil perbincangan panjang antara Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry dan Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov di Geneva, berkuat kuasa semalam.

Gencatan senjata tersebut, yang dilihat sebagai peluang terbaik untuk menamatkan perang saudara selama lima tahun di Syria, dipatuhi oleh kebanyakan kawasan di negara itu. Namun, penganalisis berpendapat pelaksanaan gencatan senjata selama tujuh hari, seperti yang termaktub dalam perjanjian berkenaan, masih berdepan dengan kesukaran.

Dilaporkan, menjelang matahari terbenam semalam apabila gencatan senjata dijangka bermula, kumpulan pemberontak masih menentang rejim Syria, manakala pihak pembangkang masih belum memutuskan sama ada mahu mematuhi perjanjian berkenaan.

Pada saat-saat terakhir sebelum perjanjian tersebut dikuatkuasakan, barulah kumpulan pembangkang, Gabungan Kebangsaan Syria (SNC) memuktamadkan keputusan untuk melaksanakan perjanjian itu. Pada masa yang sama, tentera kerajaan Syria juga bersetuju melakukan gencatan senjata, namun mendakwa pihaknya masih mengekalkan hak untuk melancarkan serangan balas.

Setakat pukul 0.00 pagi tadi, perjanjian gencatan senjata telah dilaksanakan selama lebih lima jam, yang menyaksikan bunyi bedilan meriam di Aleppo dan beberapa kawasan lain kurang kedengaran.

Bagaimanapun, konflik masih diteruskan di wilayah Deraa, selatan Syria. Oleh sebab perjanjian itu baru berkuat kuasa, maka sama ada perjanjian berkenaan dapat dilaksanakan secara menyeluruh masih belum diketahui lagi.

Menurut perjanjian tersebut, jika gencatan senjata dapat dikekalkan selama tujuh hari, Washington dan Moscow akan menubuhkan satu unit penyelaras bersama untuk berkongsi maklumat perisikan dan melancarkan serangan terhadap sasaran pengganas.

Menurut penganalisis, adalah sukar gencatan senjata selama tujuh hari dipatuhi. Walaupun kerajaan Syria menyatakan sokongan terhadap gencatan senjata, namun masih bersikap keras terhadap pihak pembangkang. Sementara itu, mereka mendakwa masih mengekalkan hak untuk melancarkan serangan balas terhadap pihak pembangkang, yang juga menjadikan perjanjian berkenaan amat "rapuh".

Setakat ini, terdapat sebahagian pihak pembangkang yang masih berada di atas pagar. Jika mereka menolak gencatan senjata itu dan melancarkan lagi serangan terhadap tentera kerajaan Syria, perjanjian tersebut akan menjadi sia-sia sahaja.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China