Cari:
Pemimpin Perniagaan China, ASEAN Bincang Kerjasama Perindustrian
2016-09-14 15:18:01 CRI Cetak

Forum Pemimpin Perniagaan China-ASEAN pertama yang bertemakan "Bina Konsensus Pembangunan, Jayakan Inisiatif 'Jalur dan Laluan' (B&R)" diadakan di bandar Nanning, wilayah Guangxi, barat daya China kelmarin.

Forum yang dihadiri hampir 400 wakil komuniti perniagaan itu menyasarkan untuk membentuk platform dialog dan pertukaran antara pemimpin perniagaan China-ASEAN, mewujudkan mekanisme jangka panjang, sekali gus meningkatkan lagi penyepaduan perindustrian, kerjasama kapasiti pengeluaran dan pelaburan antara kedua-dua pihak.

Pengarah Eksekutif Majlis Perniagaan China-ASEAN (CABC), Xu Ningning dalam ucapannya pada forum tersebut menekankan perlunya merapatkan hubungan antara dewan perniagaan China dan ASEAN kerana hal ini kondusif bagi kedua-dua pihak membina rantaian perindustrian yang saling melengkapi.

Bekas Kaunselor Perdagangan Kedutaan Malaysia di China, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Syarikat Pembangunan Taman Industri Qinzhou China-Malaysia Berhad, Dato' Ong Chong Yi menyatakan bahawa Taman Industri Qinzhou dan Taman Industri Kuantan, dua projek usaha sama yang penting bagi kedua-dua negara, telah mencipta model baharu kerjasama pelaburan.

Beliau turut menyuarakan harapan agar Taman Industri Qinzhou dapat mengambil peluang daripada pembangunan B&R dan penaiktarafan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) untuk memajukan industri multinasional dan sektor perkhidmatan, di samping merintis sektor-sektor baharu yang strategik seperti teknologi maklumat, bioteknologi, tenaga alternatif dan sebagainya.

Demi memperkasakan sinergi antara dewan perniagaan China dan ASEAN, Pengerusi Persatuan Perniagaan ASEAN-China, Darwin Yang dan Xu Ningning sebulat suara mencadangkan supaya dewan perniagaan berkenaan menandatangani pelan tindakan kerjasama, mempergiat kerjasama kapasiti pengeluaran, serta menggalakkan komunikasi dan kerjasama antara negara-negara di sepanjang jalan sutera dalam bidang sosioekonomi dan kebudayaan.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China