Cari:
Penaiktarafan CAFTA Pacu Kerjasama China-ASEAN
2016-09-15 13:37:27 CRI Cetak

Sebuah trak angkat susun tanpa pemandu keluaran Syarikat Jentera Xiagong Xiamen Berhad (XGMA) yang dipamerkan dalam Ekspo China-ASEAN ke-13 menarik perhatian para pengunjung.

Pegawai XGMA, Mo Haijin memberitahu wartawan bahawa kini terdapat sebanyak 500 hingga 600 buah produk yang dihasilkan syarikat mereka dieksport ke negara ASEAN setiap tahun, dengan kebanyakannya adalah produk pintar yang berteknologi tinggi.

Banyak syarikat China membawa produk berteknologi tinggi keluaran masing-masing ke Ekspo China-ASEAN kali ini. Antaranya termasuk syarikat Huawei yang mempamerkan peranti mudah alih generasi baharu, Alibaba yang mempamerkan kereta pintar serta CRRC yang mempertontonkan tren magnet berkelajuan rendah dan sederhana.

Keadaan ini jauh berbeza dengan Ekspo China-ASEAN pertama pada lebih 10 tahun lalu, yang ketika itu traktor antara produk mesin utama yang dipamerkan oleh syarikat China.

Ekspo China-ASEAN ke-13 diadakan bersempena dengan ulang tahun ke-25 hubungan dialog antara kedua-dua pihak. Dalam tempoh 25 tahun lalu, kerjasama ekonomi antara China dengan ASEAN telah menyaksikan perkembangan yang pesat. Jumlah perdagangan tahunan antara kedua-dua pihak meningkat kepada USD472 bilion daripada hanya USD8 bilion, meningkat hampir 60 kali ganda. Manakala, jumlah pelaburan langsung antara kedua-dua pihak pula mencecah USD160 bilion.

Sejak Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) siap dibina pada tahun 2010, lebih 90% barangan yang diperdagangkan antara kedua-dua pihak menikmati status bebas tarif, yang turut membantu mempergiat kerjasama antara China dan ASEAN, terutamanya dalam bidang ekonomi dan perdagangan.

Pengarah Eksekutif Majlis Perniagaan China-ASEAN (CABC), Xu Ningning berkata, protokal berhubung penaiktarafan CAFTA yang akan berkuat kuasa pada tahun ini, bakal meningkatkan lagi tahap keterbukaan pasaran kedua-dua pihak, sekali gus membuka lembaran baharu dalam kerjasama China-ASEAN.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China