Cari:
China Galak Pemiawaian Jana Penaiktarafan Perindustrian
2016-09-15 15:15:08 CRI Cetak

Perdana Menteri China, Li Keqiang dalam ucapannya pada Persidangan Pertubuhan Pemiawaian Antarabangsa (ISO) ke-39 di Beijing semalam, menegaskan perlunya melaksanakan sepenuhnya strategi pemiawaian bagi mempercepat penaiktarafan perindustrian dan menjana pertumbuhan ekonomi.

Beliau menyifatkan pemiawaian sebagai teras daya saing sesebuah negara, yang akan dimasukkan dalam agenda pembaharuan China.

China akan mempercepat penerapan piawaian dalam sektor-sektor baharu untuk menggerakkan pelaksanaan skim keusahawanan dan inovasi dalam kalangan rakyat, di samping menghentikan kapasiti pengeluaran yang ketinggalan.

Li menyatakan bahawa strategi pemiawaian perlu disepadukan dengan "Buatan China 2025", iaitu pelan pemodenan industri pembuatan negara ini, untuk menjana daya saing sektor berkenaan.

Dalam pada itu, China perlu terus meningkatkan kekonsistenan piawaian antarabangsa dan domestik sebagai usaha ke arah merealisasikan matlamat menjadi gergasi pembuatan.

Beliau mahu para usahawan dan syarikat berkenaan memanfaatkan sepenuhnya strategi pemiawaian ini untuk menambah baik kualiti produk dan perkhidmatan kepada pelanggan demi menaiktarafkan ekonomi negara.

Beliau turut menekankan pentingnya konsep dan kaedah pemiawaian diterapkan dalam tadbir urus kerajaan bagi meningkatkan keefisienan pentadbiran.

Menyentuh kerjasama global dalam bidang pemiawaian, Li menyeru supaya kerjasama tersebut diperkasakan untuk meluaskan penggunaan piawaian antarabangsa, di samping mengambil langkah-langkah proaktif untuk mengekang fahaman perlindungan dan penyalahgunaan piawaian serta mengurangkan halangan dari segi teknologi.

Dalam pada itu, negara-negara terbabit hendaklah menaikkan keselarasan piawaian untuk memudahkan serta meningkatkan kebebasan bagi perdagangan dan pelaburan, mengukuhkan kerjasama kapasiti pengeluaran, serta menyokong penglibatkan lebih banyak negara membangun dalam pembentukan sistem pemiawaian antarabangsa yang lebih seimbang dan inklusif.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China