Cari:
Lawatan PM Li ke Benua Amerika Signifikan
2016-09-16 15:54:18 CRI Cetak

Perdana Menteri China, Li Keqiang akan menghadiri Perhimpunan Agung PBB (UNGA) ke-71 di New York dan mengadakan lawatan rasmi ke Kanada dan Cuba pada 18 hingga 28 September ini atas undangan Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon, Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau dan Presiden Majlis Negara Cuba, Raul Castro.

Dengan latar belakang situasi antarabangsa masih rumit, keganasan dan krisis pelarian semakin menjadi-jadi, cabaran-cabaran global seperti perubahan iklim dan kesihatan awam tetap menonjol, manakala kedamaian dan pembangunan dunia juga berdepan banyak kesukaran, UNGA ke-71 menggalas misi berat.

Menurut Naib Menteri Luar China, Li Baodong, PM Li dalam ucapannya pada sesi perdebatan umum UNGA akan membentangkan pendirian China berhubung tadbir urus global dan order antarabangsa serta langkah-langkah untuk menangani cabaran global.

China berharap masyarakat antarabangsa dapat bekerjasama untuk mempertahankan order dan sistem antarabangsa yang berasaskan Piagam PBB, membina hubungan antarabangsa model baharu yang berteraskan kerjasama menang-menang, sekali gus membentuk komuniti berkongsi sesama manusia.

China akan mengulangi pentingnya memperluas konsensus serta menyelesaikan perselisihan pendapat melalui rundingan demi kedamaian dan kestabilan dunia.

Berhubung dengan pelaksanaan Agenda Pembangunan Mampan 2030, China berharap masyarakat antarabangsa terus meningkatkan peruntukan pembangunan dan mengukuhkan perkongsian global bagi merealisasikan pembangunan bersama seawal mungkin, di samping meningkatkan sinergi bagi menangani pelbagai cabaran sejagat.

Selepas menghadiri UNGA, PM Li akan membuat lawatan rasmi ke Kanada. Ini merupakan lawatan pertama PM China ke Kanada sejak 13 tahun lalu, yang disifatkan bakal menyuntik daya penggerak kuat kepada hubungan kedua-dua negara.

Li Baodong menyatakan bahawa dalam situasi baharu, China dan Kanada perlu melonjakkan kerjasama bilateral ke tahap yang lebih tinggi. Beliau yakin melalui usaha bersama, lawatan PM Li ke Kanada akan mencapai sasaran yang dihasratkan.

Cuba, negara pertama di rantau Amerika Latin dan Caribbean yang menjalinkan hubungan diplomatik dengan China, ialah destinasi terakhir dalam agenda lawatan PM Li.

Naib Menteri Luar China, Wang Chao menyifatkan lawatan tersebut amat bermakna untuk mempererat ikatan persahabatan dan kerjasama pragmatik antara China dengan Cuba.

Dalam tempoh lawatan ke Cuba, Li akan mengadakan pertemuan dengan Raul Castro untuk membincangkan pendekatan bagi meningkatkan kerjasama dua hala. Siri dokumen kerjasama yang melibatkan ekonomi, teknologi dan sumber tenaga akan turut dimeterai oleh kedua-dua pihak.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China