Cari:
Di Sebalik Keengganan Filipina Bersekutu dengan AS
2016-09-16 15:28:39 CRI Cetak

Presiden Filipina, Rodrigo Duterte baru-baru ini berkata bahawa pihaknya tidak akan menyertai lagi rondaan bersama dengan Amerika Syarikat (AS) di Laut China Selatan. Beliau juga meminta AS mengundurkan tentera dari selatan Filipina.

Penganalisis berpendapat, hubungan rakan sekutu yang akrab antara Filipina dengan AS sedang mengalami perubahan berikutan pelaksanaan dasar luar berkecuali oleh kerajaan pimpinan Duterte yang menyasarkan keseimbangan antara kuasa-kuasa besar.

Dalam sidang media sebelum berlepas ke Vientiane untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN pada awal bulan ini, Duterte memberikan amaran kepada AS supaya berhenti tunjuk ajar terhadap operasi antidadah yang dijalankan oleh kerajaan Filipina, dengan menegaskan Filipina bukan lagi tanah jajahan AS.

Sebagai balasan, Rumah Putih mengumumkan pembatalan pertemuan pertama antara Presiden Barack Obama dengan Duterte yang dijadual diadakan di Vientiane. 

Sidang Kemuncak ASEAN-AS yang diadakan di Vientiane kali ini menjadi tumpuan pihak AS. Namun, Filipina hanya menghantar Setiausaha Hal Ehwal Luarnya, Perfecto Yasay untuk menghadiri sidang kemuncak tersebut.

Selain itu, dalam sidang pleno yang berlangsung pada hari terakhir Sidang Kemuncak ASEAN kali ini, Duterte melemparkan kritikan keras terhadap kekejaman tentera AS yang pernah melakukan pembunuhan beramai-ramai di Filipina serta sikap dwistandard yang diamalkan AS.

Duterte juga tidak mempedulikan kelaziman Filipina yang sebelum ini hanya membeli senjata NATO, dengan mengatakan pihaknya akan menghantar pegawai ke China dan Rusia untuk meneliti pembelian senjata dari kedua-dua negara tersebut.

Menurut penganalisis, mantan Presiden Filipina, Benigno Aquino III mengamalkan dasar luar yang memihak kepada AS. Dengan termeterainya perjanjian untuk mengintensifkan kerjasama pertahanan, Filipina mengizinkan AS menempatkan anggota tentera, kapal perang dan jet pejuang di wilayahnya, selain membuka pangkalan tentera yang "berhampiran dengan Laut China Selatan" kepada negara itu.

Kini, Duterte sudah menyedari bahawa jika dasar luar Aquino itu dikekalkan, Filipina akan terpaksa terus mengikut telunjuk AS hingga menyebabkan negaranya diasingkan oleh negara-negara serantau.

 

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China