Naib Perdana Menteri China, Zhang Gaoli menyeru supaya komuniti perniagaan Jepun memberi sumbangan yang lebih besar dalam usaha untuk memperkukuh kerjasama ekonomi dan menjernihkan hubungan Beijing-Tokyo.
Seruan itu dibuat oleh beliau semasa pertemuan dengan delegasi ekonomi Jepun yang diketuai oleh Pengerusi Persekutuan Perniagaan, Sadayuki Sakakibara, Presiden Persatuan Ekonomi Jepun-China, Shoji Muneoka dan Pengerusi Dewan Perniagaan dan Industri Jepun, Akio Mimura di Dewan Besar Rakyat, Beijing semalam.
Menurut Zhang, China dan Jepun perlu menangani isu-isu sensitif secara bijak berdasarkan semangat bersedia mengambil iktibar daripada sejarah dan memandang masa hadapan, di samping mendorong pertukaran dan kerjasama dalam usaha mengembangkan hubungan kedua-dua negara.
Komuniti ekonomi Jepun sentiasa mendorong dan menyokong kerjasama muhibah China-Jepun.
China berharap agar usaha mereka itu dapat terus menyumbang kepada perkembangan hubungan kedua-dua negara.
Para pemimpin perniagaan Jepun pula berkata, mereka berharap Jepun dan China dapat mengekalkan hubungan yang baik dan stabil.
Komuniti ekonomi Jepun bersedia untuk meningkatkan kerjasama dengan syarikat China dalam bidang teknologi, pengeluaran pintar, penjagaan kesihatan, penjimatan tenaga dan perlindungan alam sekitar bagi memperkasakan kerjasama ekonomi dan perdagangan serta mendorong pemulihan hubungan kedua-dua negara.