Cari:
Penyertaan Renminbi dalam SDR Langkah Signifikan
2016-09-29 13:43:34 CRI Cetak

Mata wang Renminbi (RMB) akan dimasukkan dalam kelompok mata wang Hak Pengeluaran Khas (SDR) oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bermula 1 Oktober depan dengan perkongsian simpanan 10.92 peratus berbanding dolar Amerika, Euro, Yen dan Pound Sterling. Penyertaan Renminbi dalam kelompok mata wang rizab merupakan petanda signifikan dalam usaha mentransformasi ekonomi kedua terbesar dunia ini untuk menjadi lebih terbuka. Kalangan pakar ekonomi berpendapat, keputusan IMF itu memperlihatkan pengiktirafan antarabangsa terhadap kedudukan Renminbi, sekali gus melonjakkan lagi keyakinan para pelabur terhadap mata wang itu. Perkembangan ini pasti akan memberi manfaat kepada negara-negara membangun serta pasaran baru muncul, selain menggalakkan lagi pelaburan rentas sempadan.

Ketua Institut Pengajian Pelaburan Forex China, Tan Yaling menyifatkan pengiktirafan Renminbi sebagai mata wang rizab adalah lebih daripada sekadar kredibiliti mata wang China berkenaan. Penyertaannya dalam SDR sebaris empat mata wang utama cukup membuktikan sejauh mana pencapaian cemerlang China sejak proses pembaharuan dimulakan di negara ini dalam tempoh lebih sedekad lalu. Sehubungan dengan itu, negara-negara membangun yang lain serta pasaran baru muncul pula akan menikmati lebih banyak manfaat daripada usaha pembaharuan besar-besaran China yang melonjakkan Renminbi daripada mata wang kurang menyakinkan kepada kelompok mata wang rizab IMF di dalam SDR. Menurut Tan, prestasi kadar tukaran Renminbi terhadap dolar Amerika bagi tempoh bermula 1 Julai lalu hingga 30 September depan yang dijangka kekal stabil, meraih pengiktirafan IMF yang menganggap Renminbi kini menepati kesemua kriteria yang diperlukan untuk dimasukkan ke dalam kumpulan berkenaan.

Sebenarnya, China, sejak November lalu, melakukan banyak perkara untuk menjadikan Renminbi sebagai sistem pembayaran signifikan dan mata wang utama untuk simpanan nilai.

Ketua Bahagian Imbangan Pembayaran Antarabangsa Jabatan Pentadbiran Pertukaran Asing (SAFE) Negara China, Wang Chunying menganggap, kemasukan Renminbi itu akan merangsang peningkatan pegangan Renminbi sebagai sebahagian aset pelabur asing, seterusnya membantu menggalakkan penggunaan dan penerimaan mata wang China itu berbanding dolar Amerika dalam perdagangan antarabangsa.

Penyertaan Renminbi dalam SDR dilihat sebagai titik permulaan baharu dalam proses pembaharuan sistem mata wang China, dan juga peristiwa penting dalam perjalanan menuju integrasi ekonomi China ke dalam sistem kewangan global.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China