Cari:
Sinergi Rusia-AS Tamatkan Krisis Syria Digantung
2016-10-05 13:48:59 CRI Cetak

Kementerian Luar Rusia semalam menyatakan bahawa kedutaan besar negara itu di Syria terkena bedilan meriam baru-baru ini, namun tiada kematian dilaporkan kecuali bangunan di sana mengalami kerosakan. Rusia mengkritik sekeras-kerasnya serangan tersebut sebagai melanggar Undang-undang Antarabangsa, dan menyalahkan perbuatan Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya memikat kumpulan pemberontak di Syria bagi mencetuskan suasana huru-hara hingga mengundang pertumpahan darah. Sebagai tindakan balas, Moscow mengerahkan senjata pertahanan peluru berpandu S-300 ke Damsyik untuk menjamin keselamatan pangkalan tentera laut di Tartous serta armada kapal perangnya di kawasan sekitar.

Sebelum ini, AS memutuskan memberhentikan buat sementara perundingan dengan Rusia berhubung isu pelaksanaan gencatan senjata Syria, di samping menggantung pelan tindakan bersama mengenai operasi memerangi kumpulan militan. Jurucakap Jabatan Negara AS, John Kirby dalam kenyataan Isnin lalu mendakwa, komunikasi dua hala Washington-Moscow berhubung sinergi menjaga perjanjian gencatan senjata melibatkan pihak-pihak bertelagah di Syria yang tercapai September lalu telah digantung, selain daripada tindakan negara itu untuk memanggil balik personel yang bakal menyertai pembentukan sebuah pertubuhan anjuran AS-Rusia untuk memusnahkan kumpulan pengganas.

Sebenarnya, Rusia tidak menolak tanggungjawab yang harus dipikulnya dalam membantu menamatkan krisis Syria. Menteri Luar Sergei Lavrov komited untuk terus menggerakkan pelaksanaan gencatan senjata secara menyeluruh di Syria berdasarkan tuntutan Majlis Keselamatan PBB. Beliau juga menegaskan, isu Syria hanya dapat diselesaikan melalui usaha sama semua negara penting yang terbabit, jika tidak, pastilah meningkat lagi ketegangan di negara itu. Lavrov meluahkan rasa kesal terhadap kegagalan AS menepati komitmen dan menunaikan kewajipannya yang termaktub dalam perjanjian gencatan senjata Syria akibat percangghanan pendapat yang wujud di dalam negara sendiri.

Sejurus selepas mendengar pengumuman Jabatan Negara AS tersebut, Kementerian Luar Rusia dalam kenyataan membidas AS bersubahat dengan kumpulan militan seperti Barisan Al-Nusra Front untuk menggulingkan rejim Basyar Al-Assad. Jurucakap kementerian itu, Maria Zakharova berkata, sikap Washington berkenaan memperlihatkan ia bukan sahaja gagal menepati janjinya dalam mematuhi perjanjian yang dicapai dengan Moscow berhubung isu menamatkan krisis Syria, tetapi juga gagal menyumbang kepada usaha meredakan krisis kemanusiaan di Aleppo, sekali gus tidak mampu membezakan pemberontak Syria daripada kumpulan pengganas.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China