Presiden Amerika Syarikat (AS) semalam mengeluarkan arahan eksekutif yang mengumumkan pemansuhan Undang-Undang Kecemasan Negara AS terhadap Myanmar, sekali gus membatalkan sekatan terhadap negara itu.
Jabatan Perbendaharaan AS mengeluarkan kenyataan pada hari yang sama menyatakan bahawa selepas AS tidak lagi menguatkuasakan undang-undang tersebut, sekatan ekonomi dan kewangan terhadap Myanmar yang dipantau dan dikawal oleh jabatan berkenaan sudah
tidak relevan lagi.
Timbalan Setiausaha Perbendaharaan AS, Adam Szubin dalam kenyataannya berkata, pembatalan sekatan terhadap Myanmar akan menyokong pembangunan perdagangan dan ekonomi Myanmar. Jabatan Perbendaharaan AS akan meneruskan kerjasama dengan Myanmar dan mengambil tindakan yang tegas untuk membanteras jenayah pengubahan wang haram bagi memastikan keselamatan sistem kewangan Myanmar.
Sekatan AS terhadap Myanmar bermula pada tahun 1997, namun semakin longgar sejak tahun 2011.