Mantan Perdana Menteri Portugal yang juga mantan Pesuruhjaya Kanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi hal ehwal pelarian, Antonio Guterres dilantik secara rasmi sebagai Setiausaha Agung PBB yang baharu.
Pelantikan itu diluluskan melalui tepukan tangan oleh anggota-anggota PBB dalam Perhimpunan Agung PBB ke-71 semalam.
Guterres, yang menyampaikan ucapan selepas dilantik, mengucapkan terima kasih atas keyakinan negara-negara anggota terhadap beliau.
Beliau berjanji akan bersikap rendah diri serta memainkan peranan Setiausaha Agung PBB sebagai pengantara, pemanggil dan penyelaras.
Beliau juga akan berusaha mendorong pelaksanaan Agenda Pembangunan Mampan 2030, menangani perubahan iklim dan menggalakkan seluruh dunia membina kesejahteraan umat manusia bersama-sama.
Guterres akan menjawat jawatan tersebut untuk tempoh lima tahun bermula dari 1 Januari 2017 hingga 31 Disember 2021.