Cari:
China Kemuka Saranan Tangani Cabaran Bersama BRICS
2016-10-17 15:02:09 CRI Cetak

Pertemuan ke-8 pemimpin-pemimpin negara anggota BRICS (iaitu Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan) diadakan di Goa, India semalam. Dalam pertemuan itu, Presiden China, Xi Jinping telah menyampaikan ucapan yang bertajuk "Teguhkan Keyakinan demi Pembangunan Bersama", di samping mengemukakan saranan untuk menangani cabaran yang dihadapi bersama negara BRICS.

Beliau juga menegaskan bahawa China bersedia bekerjasama dengan semua pihak yang terlibat untuk merangka cetakan biru baharu pembangunan negara BRICS.

Tahun ini merupakan ulang tahun ke-10 kerjasama negara-negara BRICS. Dalam tempoh 10 tahun yang lalu, negara-negara BRICS menyumbang lebih 50% kepada pertumbuhan ekonomi dunia. Dalam pertemuan di Goa, Presiden Xi menyanjung tinggi pencapaian cemerlang yang telah dicapai dalam pelaksanaan mekanisme kerjasama BRICS.

Beliau menyatakan bahawa negara-negara BRICS berganding bahu bergerak ke hadapan dalam memperjuangkan pembangunan mampan. Negara-negara tersebut sanggup bergabung tenaga untuk menangani krisis kewangan antarabangsa, bersatu suara dalam isu-isu penting antarabangsa dan serantau, dan giat menggalakkan proses pembaharuan tadbir urus ekonomi global. Hal ini membantu meningkatkan tahap representatif dan hak bersuara pasaran baru muncul dan negara-negara membangun.

Kini, momentum pemulihan ekonomi dunia masih lemah, manakala perdagangan dan pelaburan global kekal lembap. Sehubung dengan itu, Xi mengemukakan beberapa inisiatif untuk memperkukuh ikatan sesama negara BRICS dalam mengharungi detik-detik yang sukar.

Beliau menyarankan supaya para anggota BRICS mempercepat pembaharuan struktur, menginovasi corak pertumbuhan dan mewujudkan ekonomi yang terbuka, di samping terus memperkasakan Dialog Selatan-Utara dan Kerjasama Selatan-Selatan demi merealisasikan pertumbuhan ekonomi global yang kukuh, mampan, seimbang dan inklusif.

Beliau mahu negara-negara terlibat meningkatkan sinergi dalam usaha menangani isu-isu global seperti bencana alam, perubahan iklim, penyakit berjangkit dan ancaman keganasan bagi menyumbang kepada ketenteraman berkekalan sedunia.

Antara saranan lain termasuk terus meningkatkan tahap representatif dan hak bersuara pasaran baru muncul dan negara-negara membangun, dan menggalakkan pembinaan hubungan antarabangsan model baharu yang berteraskan kerjasama menang-menang; memajukan rangka kerja Bank Pembangunan Baharu (NDB) BRICS dan Aturan Simpanan Kecemasan (CRA) bagi menyediakan jaminan kuat kepada pembangunan ekonomi negara-negara membangun.

Xi turut mengumumkan bahawa China yang mengambil alih jawatan pengerusi bergilir BRICS pada tahun depan, akan menganjurkan pertemuan ke-9 pemimpin negara-negara BRICS di Xiamen, provinsi Fujian. Tegas beliau, China berharap dapat bersatu tenaga dengan pihak-pihak terbabit bagi memastikan segala persepakatan yang telah dicapai dilaksanakan sepenuhnya, sekali gus memperkukuh perkongsian demi membuka lembaran baharu kerjasama BRICS.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China