Cari:
Lawatan Duterte Diharap Perkukuh Kerjasama Pragmatik China-Filipina
2016-10-17 15:36:36 CRI Cetak

Presiden Filipina, Rodrigo Duterte akan mengadakan lawatan sulung ke China pada 18 hingga 21 Oktober ini atas undangan Presiden Xi Jinping. Beijing dan Manila berusaha gigih untuk melicinkan segala urusan berkaitan dengan lawatan tersebut.

Dalam pertemuan dengan Duta Besar China ke Filipina, Zhao Jianhua sebelum bertolak, Duterte melahirkan harapan supaya lawatannya kali ini dimanfaatkan untuk menjernihkan semula hubungan kedua-dua negara hingga kembali ke landasan yang betul. Beliau juga yakin bahawa lawatan ini akan mencapai kejayaan sepenuhnya.

Sebubungan dengan itu, jurucakap Kementerian Luar China, Geng Shuang berkata lawatan Duterte ke China diharap membantu meningkatkan kesalingpercayaan politik serta kerjasama pragmatik antara kedua-dua negara. Kata beliau, "Dalam tempoh lawatan tersebut, Presiden China, Xi Jinping bakal mengadakan rundingan dengan Duterte bagi bertukar-tukar pendapat tentang usaha membaiki hubungan dua hala, memperkasakan kerjasama dalam pelbagai bidang serta isu-isu antarabangsa dan serantau yang menjadi perhatian bersama. Selain itu, Perdana Menteri China, Li Keqiang dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC), Zhang Dejiang juga akan mengadakan pertemuan dengan Duterte. China berharap agar lawatan Duterte kali ini dapat membantu meningkatkan rasa saling mempercayai dalam politik, memperkukuh kerjasama pragmatik dan mengeratkan persahabatan tradisional antara Beijing dengan Manila. Di samping itu, percanggahan pendapat antara kedua-dua negara diharap dapat diselesaikan secara tuntas supaya perkongsian strategik dua hala kembali pulih dan berada di landasan yang betul."

Jurucakap itu menekankan bahawa Filipina merupakan negara tetangga baik bagi China dan kedua-dua negara telah lama mengekalkan ikatan persahabatan yang erat. Hubungan dua hala China-Filipina berkembang dengan baik pada keseluruhannya, manakala kerjasama dalam bidang politik, ekonomi dan sosiobudaya terus meningkat. Beliau berkata, "Persahabatan China-Filipina selaras dengan aspirasi rakyat kedua-dua negara dan hala tuju pembangunan serantau. China mengutamakan hubungan dengan Filipina dan bersedia bekerjasama dengan Filipina bagi menggalakkan hubungan dua hala ini terus berkembang secara sihat dan stabil demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara."

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China