Cari:
Lawatan Presiden Xi Buahkan Hasil
2016-10-18 16:58:47 CRI Cetak

Lawatan Presiden China, Xi Jinping ke Kemboja, Bangladesh dan India yang diadakan pada 13 hingga 17 Oktober lalu disifatkan sebagai amat berjaya oleh Menteri Luar China, Wang Yi.

Di Phnom Penh dan Dhaka, Presiden Xi bersama-sama dengan pemimpin Kemboja dan Bangladesh komited untuk mengerat lagi ikatan persahabatan dan jalinan kerjasama; di Goa pula, beliau berserta pemimpin negara BRICS lain bersepakat meningkatkan sinergi dalam menangani cabaran dan mewujudkan pembangunan mampan demi masa depan lebih cemerlang.

Dalam tempoh empat hari yang lalu, Xi telah menghadiri lebih 40 aktiviti dua hala dan pelbagai hala, bertemu dengan pemimpin pelbagai negara, menyampaikan ucapan penting, serta menyaksikan pemeteraian beberapa kenyataan bersama, perisytiharan dan puluhan perjanjian kerjasama.

Kemboja merupakan destinasi pertama dalam lawatan Xi kali ini. Menurut Wang, China dan Kemboja mencapai persepakatan yang meluas tentang kerjasama pragmatik dalam pelbagai bidang, khususnya garis panduan mengenai usaha sama bagi menjayakan inisiatif "Jalur dan Laluan" (B&R), meningkatkan penyelarasan strategi pembangunan dan kerjasama kapasiti pengeluaran, serta mempercepat pembinaan zon ekonomi khas di Pelabuhan Sihanoukville, di samping menandatangani 31 dokumen kerjasama.

Dalam kunjungan ke Bangladesh, yang merupakan lawatan pertama pemimpin China ke negara itu sejak 30 tahun lalu, Xi menegaskan betapa pentingnya Beijing dan Dhaka meningkatkan kesalingpercayaan politik, memperluas kerjasama yang saling menguntungkan dan menyuburkan ikatan persahabatan dalam kalangan rakyat.

Kedua-dua pihak dalam kenyataan bersama turut mengumumkan hubungan Beijing-Dhaka dinaiktarafkan kepada perkongsian strategik, sekali gus menjadikan China rakan kerjasama strategik yang pertama bagi Bangladesh.

Ketika memperkatakan tentang pertemuan ke-8 pemimpin negara-negara BRICS, Wang menyatakan bahawa tahun ini merupakan ulang tahun ke-10 pembentukan mekanisme kerjasama BRICS. Dalam tempoh 10 tahun lalu, mekanisme tersebut semakin lengkap, yang turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dunia, penambahbaikan tadbir urus global dan pemerkasaan kerjasama antara negara-negara membangun.

Dalam pertemuan tersebut, Xi telah mengemukakan beberapa saranan untuk menangani cabaran yang dihadapi bersama BRICS, selain mengumumkan China akan menganjurkan pertemuan ke-9 pemimpin negara-negara BRICS di Xiamen, provinsi Fujian pada bulan September tahun depan.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China