Cari:
Beijing, Manila Ikhlas Perkukuh Kemesraan dan Kerjasama
2016-10-19 17:30:43 CRI Cetak

Presiden Filipina, Rodrigo Duterte yang mengetuai delegasi seramai 250 usahawan, tiba di Beijing malam tadi untuk lawatan rasmi sulungnya selama empat hari ke China.

Lawatan tersebut merupakan lawatan pertama Duterte ke negara di luar rantau ASEAN sejak menyandang jawatan Presiden Filipina.

Dalam tempoh lawatan ini, Presiden China, Xi Jinping akan mengadakan rundingan dengan Duterte bagi membincangkan usaha-usaha untuk membaiki hubungan dua hala, memperkasakan kerjasama dalam pelbagai bidang serta isu-isu antarabangsa dan serantau yang menjadi perhatian bersama. Perdana Menteri China, Li Keqiang dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC), Zhang Dejiang juga dijadualkan mengadakan pertemuan dengan beliau.

Sebelum berlepas ke Beijing, Duterte telah menyuarakan hasrat dan kesediaannya untuk mengukuhkan ikatan kemesraan Manila-Beijing dengan penuh keikhlasan.

Menurut beliau, isu Laut China Selatan bakal menjadi salah satu topik perbincangan dalam lawatannya ke China kali ini. Namun, sikap keras dan cara pemaksaan akan diketepikan untuk mendapatkan penyelesaian sewajar yang boleh diterima bersama.

Beliau juga menzahirkan harapan agar kerjasama Manila-Beijing dalam usaha memerangi dadah serta infrastruktur, pelancongan dan pertanian terus dipergiat.

Impak positif lawatan Duterte ke China turut menyebabkan indeks pasaran saham Filipina melonjak hampir 3% untuk ditutup semalam.

Sementara itu, China juga menunjukkan keikhlasan untuk menerima lawatan rasmi Duterte. Menteri Luar, Wang Yi menyatakan bahawa China amat mementingkan lawatan tersebut dan rela menghulurkan tangan persahabatan dan muhibah kepada rakyat Filipina.

China bersedia memperkasakan kerjasama dengan Filipina dalam bidang ekonomi dan perdagangan, kapasiti pengeluaran, infrastruktur serta usaha membanteras dadah.

Berhubung dengan pertikaian Laut China Selatan pula, jurucakap Kementerian Luar, Hua Chunying menekankan semula bahawa pintu dialog sentiasa terbuka kepada Filipina dalam isu tersebut.

Naib Ketua Pengarah Institut Pengajian Antarabangsa China (CIIS), Ruan Zongze menyifatkan lawatan Duterte kali ini sebagai titik permulaan baharu dalam hubungan China-Filipina, yang akan turut meningkatkan kerjasama kedua-dua negara dalam bidang ekonomi dan perdagangan.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China