Cari:
Singapura Perkenal Peta Transformasi Sektor Runcit
2016-10-20 15:09:18 CRI Cetak

Kementerian Perdagangan dan Industri Singapura (MTI) memperkenalkan Peta Transformasi Industri (ITM) bagi sektor perniagaan runcit baru-baru ini, yang membolehkan peruncit setempat menerima bantuan lebih bersepadu bagi memanfaatkan dan mempelajari pelbagai saluran jualan termasuk e-dagang serta menggunakan teknologi di bawah peta tersebut.

Menurut menterinya, S. Iswaran, peta tersebut akan memberi fokus kepada usaha-usaha untuk mempergandakan pendapatan peruncitan melalui inovasi, meningkatkan produktiviti menerusi penerapan teknologi, memupuk modal insan yang berkualiti dan cekap serta mempercepat globalisasi dalam sektor peruncitan.

Singapura, yang dikenali sebagai syurga beli-belah, mempunyai kira-kira 21 ribu buah kedai runcit yang menggaji 3% daripada keseluruhan tenaga kerja di seluruh negara. Sektor peruncitan yang sebelum ini menjadi penjana utama ekonomi Singapura, kini mengalami kelembapan berikutan perkembang pesat e-dagang, kenaikan kos tenaga kerja dan berkurangnya bilangan pelancong.

S. Iswaran menyatakan bahawa sektor peruncitan Singapura tetap berpotensi besar, meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran. Peta berkenaan menyasarkan produktiviti sektor perniagaan runcit Singapura meningkat secara purata 1% setahun, manakala perkadaran pendapatan e-dagang dalam keseluruhan pendapatan peruncitan meningkat daripada 3% kepada 10% menjelang 2020.

Dalam pada itu, kerajaan dan agensi berkenaan komited melakukan sinergi demi merealisasikan sasaran tersebut. Beberapa program akan turut diperkenalkan bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mencari platform e-dagang yang sesuai, di samping menggalakkan pengusaha perniagaan runcit menerima pakai pelbagai saluran jualan baharu.

Profesor Madya Prem Shamdasani dari Institut Perniagaan, Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) pula menyatakan bahawa pelbagai pendekatan perlu diambil untuk mengubah pemikiran peniaga runcit serta meningkatkan penerapan teknologi baharu dalam sektor berkenaan, yang dianggap cabaran terbesar dalam pelaksanaan peta tersebut.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China