Roket pembawa generasi baharu yang dikenali sebagai Long March-5 dilancarkan di Pusat Pelancaran Satelit Wenchang di provinsi Hainan, selatan China, pada pukul 8.43 malam tadi.
Jabatan Pentadbiran Sains, Teknologi dan Industri untuk Pertahanan Nasional China (SASTIND) mengumumkan kejayaan misi tersebut sejuru selepas muatan yang dibawa roket itu digerakkan ke orbit yang diprasetkan kira-kira 30 minit kemudiannya.
Selepas terkendala selama beberapa tahun, China akhirnya melancarkan roket yang dianggap paling berkuasa dalam usaha gigih untuk menjadi negara gergasi dalam bidang angkasa lepas.
Long March-5 itu mampu membawa muatan hingga seberat 25 tan iaitu bersamaan dengan berat 16 buah kereta ke dalam Orbit Bumi Rendah (LEO). Dengan kapasiti muatan sebanyak 2.5 kali ganda dibandingkan roket-roket pembawa model Long March yang sebelumnya, Long March-5 buatan China ini adalah yang paling besar setakat ini.
Ketua Pengarah Projek Long March-5, Wang Yu berkata, roket berkenaan adalah model generasi baharu yang memiliki ciri-ciri seperti tanpa toksin dan mesra alam, yang panjangnya kira-kira 57 meter dengan berat takeoff mencecah 807 tan dan tujahan melebihi 1,000 tan. Boleh dikatakan bahawa Long March-5 tersebut adalah rekaan baharu negara ini yang dihasilkan dengan menggunakan lebih kurang 240 jenis teknologi canggih dalam bidang pengangkutan angkasa.
Ketua Jurutera SASTIND, Tian Yulong memaklumkan, Long March-5, yang bahagian terasnya berdiameter 5 meter, jauh lebih tebal daripada roket-roket pembawa dahulu yang hanya 3.35 meter. Beliau menghargai misi pelancaran yang amat berjaya itu sebagai petanda signifikan dalam usaha menaik taraf teknologi pembangunan roket pembawa, sekali gus meletakkan China pada kedudukan teratas antara kuasa angkasa utama di dunia.
China sebelum ini telah berjaya melancarkan makmal angkasa keduanya yang dikenali sebagai Tiangong-2 sebagai sebahagian daripada projek angkasa kami. Pelancaran roket kali ini pula meletakkan asas yang kukuh dalam usaha negara ini mengorak langkah untuk meneruskan misi penerokaan ke bulan dan Mars serta membangunkan stesen angkasa lepas pada hari kelak.