Cari:
China, ASEAN Gembleng Tenaga Bentuk Komuniti Pelancongan
2016-11-15 15:05:41 CRI Cetak

Tahun 2017 telah ditetapkan sebagai Tahun Kerjasama Pelancongan China-ASEAN dalam Sidang Kemuncak China-ASEAN yang diadakan pada bulan Oktober lalu. Kedua-dua pihak komited memanfaatkan peluang keemasan ini untuk meningkatkan kerjasama dalam pemasaran, penerokaan produk berkaitan, pelaburan pelancongan, latihan personel, penambahbaikan kualiti perkhidmatan dan kesalinghubungan, berasaskan rangka kerjasama pelancongan yang sedia wujud.

China dan ASEAN merupakan jiran dan sahabat baik. Singapura, Malaysia dan Thailand, destinasi yang telah pun menerima kedatangan rombongan pelancong China seawal tahun 1980-an, masih amat digemari warga China hingga kini.

Seiring dengan perkembangan pesat industri pelancongan China dan ASEAN pada beberapa tahun kebelakangan ini, sektor berkenaan telah menjadi keutamaan dalam kerjasama antara kedua-dua pihak, yang menyasarkan bilangan pelancong saling berkunjung seramai 30 juta menjelang 2020.

Pelancongan disifatkan sebagai jejambat untuk menyebarkan tamadun, mengongsi budaya dan menyuburkan ikatan persahabatan. China dan ASEAN merupakan destinasi pelancongan penting bagi satu sama lain. China pula telah menjadi sumber pelancong terbesar bagi ASEAN.

Kerjasama pelancongan antara kedua-dua pihak menunjukkan momentum kukuh untuk terus berkembang pesat. Setiap minggu terdapat lebih seribu penerbangan beroperasi antara lebih seratus bandar di China dan ASEAN. Jumlah pelancong yang saling melawati antara China dengan ASEAN mencatat 23 juta pada tahun 2015 berbanding 3.87 juta pada tahun 2003, sekali gus mencipta rekod baharu. Pada beberapa tahun kebelakangan ini, bilang pelancong China ke ASEAN pula menyaksikan peningkatan sebanyak 50%, iaitu lebih 17 juta setahun.

Sementara itu, daya tarikan China bagi pelancong ASEAN juga terus bertambah. Pada setengah pertama tahun ini, enam daripada 15 sumber pelancong terbesar bagi China merupakan negara ASEAN, dengan ketibaan pelancong dari rantau berkenaan lebih 6.5 juta. Ambil Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi yang berdekatan dengan ASEAN sebagai contoh, antara 3 juta pelancong asing yang berkunjung ke sana setiap tahun, hampir separuh adalah dari negara-negara ASEAN.

Dalam aktiviti promosi pelancongan "China Nan Indah" yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini, pegawai dari Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (MTPB) berkata, China merupakan sumber pelancong ketiga terbesar bagi Malaysia, manakala Malaysia sumber pelancong kelapan terbesar bagi China. Kedua-dua negara kaya dengan sumber pelancongan dan diharap terus meneroka potensi kerjasama dalam bidang berkenaan.

Naib Pengarah Jabatan Pentadbiran Pelancongan Negara China (CNTA), Du Jiang pula menyatakan bahawa kerajaan China sentiasa mementingkan kerjasama pelancongan dengan ASEAN dan bersedia meningkatkan sinergi dengan negara-negara ASEAN untuk menjadikan pertukaran sosiobudaya sebagai tonggak ketiga hubungan China-ASEAN selain politik dan ekonomi. Dalam pada itu, kerjasama pelancongan akan diberi keutamaan.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China