Cari:
Kerjasama Muhibah China-Amerika Latin Semakin Erat
2016-11-16 16:38:25 CRI Cetak

Presiden China, Xi Jinping akan mengadakan lawatan rasmi ke Ecuador, Peru dan Chile bermula esok hingga 23 November ini. Agenda lawatan beliau juga termasuk menghadiri Sidang Kemuncak Tidak Rasmi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-24 yang dijadualkan pada 19 hingga 20 November di Lima, ibu negara Peru.

Ini merupakan lawatan ketiga Xi ke Amerika Latin sejak menjawat jawatan Presiden China.

Hubungan perdagangan dan ikatan muhibah antara China dengan Amerika Latin telah pun terjalin apabila kapal-kapal yang membawa sutera dan porselin berlepas dari selatan China menuju ke rantau tersebut pada abad ke-16.

Pada beberapa tahun kebelakangan ini, pertukaran lawatan peringkat tinggi antara kedua-dua pihak kerap diadakan, kesalingpercayaan politik kian meningkat, pelbagai mekanisme kerjasama semakin lengkap, manakala pertukaran sosiobudaya bertambah rancak. Kemajuan ini turut mencerminkan jalinan persahabatan lebih kukuh antara China dengan Amerika Latin.

Pada Julai 2014, Presiden Xi bersama-sama pemimpin 11 negara Amerika Latin merasmikan Forum China-Komuniti Amerika Latin dan Negara-Negara Caribbean (CELAC) di Brazil, sekali gus memulakan kerjasama holistik antara kedua-dua pihak.

Pada Janunari 2015, mesyuarat peringkat menteri pertama Forum China-CELAC yang diadakan di Beijing telah meluluskan tiga dokumen yang mengenal pasti bidang kerjasama utama antara kedua-dua pihak dalam tempoh lima tahun akan datang.

Dalam bidang pertukaran personel pula, China merancang menyediakan 6,000 biasiswa dan 6,000 tawaran latihan di China kepada negara-negara Amerika Latin dan Caribbean. China juga akan mengundang 1,000 pemimpin parti dari negara-negara tersebut untuk melawat China, di samping menggalakkan Program Latihan Seribu Pemimpin Belia China-Amerika Latin.

Pada tahun-tahun kebelakangan ini, kerjasama ekonomi antara kedua-dua pihak berkembang pesat dan menunjukkan kedinamikan sehingga disifatkan sebagai penjana hubungan China-Amerika Latin. Jumlah perdagangan bilateral mencatat USD236.5 bilion pada tahun lepas, meningkat 23 kali ganda berbanding tahun 2000. China telah menjadi rakan dagang kedua terbesar dan sumber pelaburan yang penting bagi Amerika Latin. China juga merupakan rakan dagang terbesar bagi beberapa negara di rantau tersebut, seperti Brazil dan Chile. Amerika Latin antara rantau yang jumlah eksport ke China meningkat paling pesat.

Berdasarkan statistik Kementerian Perdagangan China, kedua-dua pihak mengikat kontrak bernilai USD18 bilion pada tahun lepas, meningkat 10% berbanding tahun sebelumnya.

Tahun ini ditetapkan sebagai Tahun Pertukaran Budaya China-Amerika Latin, atas saranan Presiden Xi. Lebih seratus aktiviti telah diadakan di China dan hampir 30 buah negara Amerika Latin, yang membantu menyemarakkan persefahaman dalam kalangan rakyat.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China