Cari:
Lawatan Presiden Xi ke Amerika Latin Signifikan
2016-11-17 12:30:29 CRI Cetak

Presiden China, Xi Jinping berlepas ke Amerika Latin pagi tadi untuk lawatan rasmi selama seminggu ke Ecuador, Peru dan Chile, termasuk menghadiri Sidang Kemuncak Tidak Rasmi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-24 di Lima, ibu negara Peru. Ini merupakan lawatan ketiga Xi ke Amerika Latin sejak menjawat jawatan Presiden China.

"Jauh di mata, dekat di hati", demikian dapat hubungan China-Amerika Latin diumpamakan. China merupakan negara membangun terbesar di dunia, manakala Amerika Latin benua yang paling banyak negara membangun. Tahap pembangunan yang serupa dan misi pembangunan yang sama menjadikan China dan Amerika Latin "jiran dekat", meskipun dipisahkan oleh Lautan Pasifik.

Ecuador merupakan destinasi pertama dalam agenda lawatan Xi kali ini. Ini juga lawatan sulung Presiden China ke negara itu sejak hubungan diplomatik terjalin 36 tahun lalu.

Sejak hubungan China-Ecuador dinaiktarafkan kepada perkongsian strategik pada Januari 2015, kerjasama pragmatik antara kedua-dua pihak membuahkan hasil yang memberangsangkan. China telah menjadi rakan dagang ketiga terbesar dan sumber pelaburan yang penting bagi Ecuador.

Ketika Ecuador dilanda gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter pada bulan April lalu, China segera menyalurkan bantuan wang tunai sebanyak USD2 juta dan barangan bernilai RMB60 juta kepada negara itu. Sumbangan China mendapat pujian semua lapisan masyarakat tempatan dan komuniti antarabangsa. Sempena lawatan ini, Presiden Xi akan mengumumkan bantuan dan pinjaman keutamaan baharu untuk menyokong pembangunan semula negara tersebut.

Peru merupakan entiti ekonomi baru muncul yang penting di rantau Pasifik. Kerjasama pragmatik antara China dengan negara itu berkembang pesat pada tahun-tahun kebelakangan ini.

Peru juga satu-satunya negara Amerika Latin yang menjalin perkongsian strategik komprehensif dan memeterai pakej perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan China. China telah menjadi rakan dagang terbesar, pasaran eksport terbesar serta sumber pelaburan tenaga dan perlombongan terbesar bagi Peru.

Dalam rangka lawatan Presiden Xi kali ini, kedua-dua pihak akan memeterai dokumen kerjasama mengenai penaiktarafan FTA, projek taman perindustrian serta ekonomi dan kewangan.

Ikatan ekonomi China-Peru cukup erat, manakala hubungan politik utuh. Pada bulan September lalu, Pedro Pablo Kuczynski yang baru menjawat jawatan Presiden Peru memilih China sebagai destinasi lawatan pertamanya dan mencapai persepakatan dengan Presiden Xi untuk memperkukuh perkongsian strategik komprehensif.

Presiden Xi membuat lawatan balas ke Peru hanya selang dua bulan. Hal ini jarang berlaku dalam sejarah diplomasi dunia, yang turut memperlihatkan keakraban hubungan China-Peru.

Chile pula merupakan negara Amerika Latin pertama yang menjalin hubungan diplomatik serta mengikat FTA dengan China. China mengekalkan status sebagai rakan dagang terbesar bagi Chile bertahun-tahun lamanya, manakala Chile rakan dagang ketiga terbesar bagi China di Amerika Latin. Dalam agenda Presiden Xi kali ini, kedua-dua pihak dijangka mencapai hasil baharu dalam penaiktarafan FTA dan kerjasama e-dagang.

Pada 19 hingga 20 November nanti, Presiden Xi dijadualkan menghadiri Sidang Kemuncak Tidak Rasmi APEC ke-24 di Lima, bertepatan ulang tahun ke-25 keanggotaan China dalam pertubuhan tersebut.

Dengan kebangkitan faham perlindungan perdagangan, soal bagaimana mekanisme APEC yang komited meningkatkan kerjasama Asia Pasifik dimanfaatkan sepenuhnya untuk menggalakkan proses integrasi ekonomi serantau menjadi tumpuan.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China