Cari:
Lawatan Presiden Xi Diharap Perkukuh Hubungan China-Ecuador
2016-11-18 14:25:18 CRI Cetak

Presiden China, Xi Jinping memulakan lawatan rasmi ke Ecuador semalam. Beberapa tahun kebelakangan ini, hubungan China-Ecuador berkembang pesat, dengan kerjasama dalam bidang sumber tenaga, teknologi dan infrastruktur semakin rapat. Lawatan Presiden Xi mendapat sambutan baik semua lapisan masyarakat tempatan, yang berharap lawatan berkenaan dapat memperkukuh kerjasama kedua-dua negara dalam pelbagai bidang serta ikatan persahabatan di kalangan rakyat.

David Fierro, seorang pemandu teksi dari Quito, ibu negara Ecuador memberitahu wartawan Radio Antarabangsa China (CRI) bahawa beliau tahu Presiden Xi akan menghadiri upacara perasmian sebuah stesen hidroelektrik. Rakyat Ecuador benar-benar gembira dengan lawatan Presiden Xi, yang dipercayai bakal membawa manfaat melimpah kepada Ecuador.

Kekurangan bekalan elektrik merupakan masalah yang sudah lama didepani Ecuador sehingga menyebabkan negara ini terpaksa membayar lebih USD1 bilion setahun untuk membeli elektrik daripada jirannya, selain perlu mengehadkan penggunaan elektrik dari semasa ke semasa.

Masalah-masalah tersebut terungkai sejak terjalinnya kerjasama dengan China. Antara lapan buah stesen hidroelektrik yang telah siap dibina di Ecuador, tujuh yang melibatkan syarikat China temasuk stesen hidroelektrik terbesar, Coca Codo Sinclair (CCS). Pada bulan April lalu, kumpulan pertama unit penjana kuasa CCS telah mula beroperasi, dengan kapasiti 1,500 megawatt yang boleh membantu Ecuador menjimatkan kos sebanyak USD600 juta setiap tahun.

Pengurus Besar Perbadanan Bekalan Elektrik Ecuador, Luis Ruales menyatakan bahawa CCS mampu memenuhi 35% permintaan tenaga elektrik di Ecuador. Dengan adanya kemudahan tersebut, bukan sekadar bekalan tenaga bersih terjamin, tarif elektrik lebih murah, malah memungkinkan Ecuador mengeksport tenaga elektrik kepada negara jiran. Bagi Ecuador, CCS memanglah projek yang sangat penting.

Kerjasama antara Ecuador dengan China bukan hanya terhad kepada bidang tenaga. Demi mewujudkan industrialisasi seawal mungkin, Ecuador sedang melaksanakan penyusunan semula struktur perindustrian dan meningkatkan peruntukan dalam bidang teknologi tinggi, dengan harapan agar pertumbuhan ekonominya tidak lagi terlalu tergantung pada pengeksportan minyak dan bahan mentah. Selain bantuan berupa modal, syarikat China juga menyediakan sokongan dari segi teknologi kepada Ecuador.

Ahli penyelidik Akademi Sains Sosial Amerika Latin Ecuador, Mateo Bonilla pula menyatakan bahawa dalam tempoh sedekad lalu, Ecuador telah menyaksikan China membangun secara damai. Presiden Xi merupakan pemimpin asing paling tinggi peringkat yang melawat ke Ecuador dalam sejarah. Agenda kerjasama akan menjadi tumpuan dalam rundingan antara pemimpin kedua-dua negara.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China