Presiden China, Xi Jinping menyampaikan ucapan yang bertajuk "Mengorak Langkah ke Hadapan demi Pembangunan dan Kemakmuran Asia Pasifik" dalam Mesyuarat Tidak Rasmi Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-24 di Lima, ibu negara Peru pagi semalam.
Xi dalam ucapannya berkata, APEC adalah sebuah pertubuhan yang berperanan penting dalam usaha merintis kerjasama Asia Pasifik dan dunia, di samping meneraju ekonomi global.
Tambah beliau, semua anggota APEC perlu mengambil langkah-langkah yang berkesan bagi mewujudkan ekonomi dunia yang berorientasikan inovasi, dinamik, berhubung dan inklusif.
Presiden Xi turut menekankan perlunya mengekalkan keterangkuman dalam hala tuju pembangunan, di samping menentang sebarang bentuk perlindungan perdagangan dan berusaha meningkatkan lagi tahap keterbukaan ekonomi di rantau Asia Pasifik serta mewujudkan Kawasan Perdagangan Bebas Asia Pasifik secepat mungkin.