Cari:
Mesyuarat APEC Komited Perdagangan Bebas, Pertumbuhan Ekonomi dan Kemakmuran Bersama
2016-11-21 14:38:55 CRI Cetak

Mesyuarat Tidak Rasmi Pemimpin Pertubuhan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-24 dirasmikan di Lima, ibu negara Peru pada 20 November waktu tempatan. Pemimpin daripada 21 entiti ekonomi APEC termasuk Presiden China, Xi Jinping telah bertukar-tukar pendapat mengenai integrasi ekonomi serantau, kawasan perdagangan bebas Asia-Pasifik, kesalinghubungan dan kerjasama dalam industri perkhidmatan dalam mesyuarat itu. Mesyuarat itu berakhir selepas mengeluarkan Deklarasi Lima yang mengesahkan laporan penyelidikan mengenai strategi kolektif kawasan perdagangan bebas Asia-Pasifik. Ini merupakan langkah yang amat bermakna bagi proses penubuhan kawasan perdagangan bebas Asia-Pasifik.

Mesyuarat APEC kali ini bertemakan "Pertumbuhan Berkualiti dan Pembangunan Manusia" dan perbincangan para pemimpin berfokus pada cabaran yang dihadapi perdagangan bebas dan pelaburan dalam situasi semasa global, keselamatan makanan, kaedah menyesuaikan diri dengan perubahan iklim dan memperoleh sumber air serta perpaduan Asia-Pasifik bagi mewujudkan kesalinghubungan serantau yang benar-benar berkesan.

Presiden Peru, negara pengerusi bergilir APEC, Pedro Pablo Kuczynski dalam mesyuarat itu telah menegaskan lagi keyakinan terhadap perdagangan global. Beliau menyatakan bahawa kerjasama 21 buah entiti ekonomi APEC dijangka boleh merancakkan perdagangan global yang berada dalam kemerosotan, bukan sahaja boleh menyediakan peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana bahkan menjana daya produktiviti tenaga pekerja serantau. Menurut beliau, memandangkan situasi antarabangsa yang berubah dengan pesat, APEC akan mempertimbangkan kaedah untuk mewujudkan pertumbuhan yang inklusif dan berterusan di Asia-Pasifik dalam bidang yang melibatkan perdagangan, pelaburan, perkhidmatan, pelancongan dan pengambilan pekerja bagi memastikan kemakmuran.

Deklarasi Mesyuarat Tidak Rasmi Pemimpin APEC ke-24 iaitu Deklarasi Lima yang dikeluarkan sebelum mesyuarat APEC itu berakhir menyatakan bahawa para pemimpin komited kepada usaha menyokong perdagangan dan pelaburan yang bebas dan terbuka, pertumbuhan ekonomi yang berterusan dan kemakmuran bersama di rantau Asia-Pasifik. Pada tahun 2017, para pemimpin akan mengutamakan usaha dalam bidang integrasi ekonomi serantau dan pertumbuhan berkualiti, perkembangan pasaran makanan serantau, pemodenan perusahaan kecil dan sederahana rantau ini dan pembangunan modal insan.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China