Ucapan bertajuk "Mengorak Langkah ke Hadapan demi Pembangunan dan Kemakmuran Asia Pasifik" yang disampaikan Presiden China, Xi Jinping pada Mesyuarat Tidak Rasmi Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-24 di Lima, Peru kelmarin, mendapat sambutan baik masyarakat antarabangsa.
Xi dalam ucapannya menyeru semua anggota APEC agar mengambil langkah-langkah yang berkesan bagi menghadapi situasi dan cabaran baharu, di samping berperanan sebagai penggerak Asia Pasifik bagi mewujudkan ekonomi dunia yang berorientasikan inovasi, dinamik, berhubung dan inklusif.
Isyarat positif yang disampaikan menerusi ucapan Xi turut membangkitkan keyakinan APEC untuk menerajui pembangunan ekonomi Asia Pasifik demi kemakmuran bersama.
Penasihat Kanan Pengerusi Persatuan Perniagaan China-ASEAN, Lee Chian Siong berkata, Presiden Xi dalam ucapannya menyebut tentang perlunya meningkatkan tahap keterbukaan ekonomi Asia Pasifik, menyokong sistem perdagangan pelbagai hala dan mempercepat pembinaan zon perdagangan bebas Asia Pasifik.
Cadangan itu amat pragmatik kerana membuka ruang kerjasama yang lebih luas, dan tidak mustahil akan mengecapi kejayaan yang lebih besar.
Beliau juga amat bersetuju dengan saranan Xi untuk mendorong pelaksanaan inisiatif "Jalur dan Laluan" (B&R) kerana pembinaan infrastruktur penting bagi menaikkan taraf pembangunan ekonomi.
Penganalisis politik Indonesia, Bambang Suryono pula berkata, Presiden Xi dalam ucapannya turut menyebut bahawa China akan meningkatkan tahap keterbukaannya untuk menggalakkan integrasi ekonomi serantau.
Tindakan tersebut bakal menyediakan peluang pembangunan kepada pelbagai negara, mewujudkan daya penggerak bagi pemulihan ekonomi global, di samping mencerminkan keikhlasan China untuk bekerjasama dengan dunia demi situasi menang-menang.