Kadar tukaran RMB yang naik turun baru-baru ini amat menarik perhatian umum. Naib Gabenor Bank Rakyat China, Yi Gang ketika diwawancara baru-baru ini menyatakan, RMB tetap stabil dan mantap dalam sistem monetari sejagat.
Menurutnya, nilai USD yang naik dengan pesat baru-baru ini menunjukkan pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat (AS) semakin pesat serta unjuran terhadap inflasi yang meningkat. Selain itu, Rizab Persekutuan (Fed) AS mungkin akan mempercepat kenaikan kadar bunga deposit. Peristiwa yang luar jangkaan masyarakat antarabangsa seperti terpilihnya Donald Trump sebagai presiden baharu dan Britain menarik diri daripada Kesatuan Eropah (EU) mengakibatkan kadar tukaran RMB dengan USD mengalami pergolakan yang amat besar. Aliran dana yang kembali ke AS menjadikan indeks USD melambung, sekali gus menjadikan indeks bagi tiga bursa saham utama AS melambung juga. Kadar tukaran kebanyakan mata wang antarabangsa dengan USD kelihatan menurun pada umumnya. Tetapi, arah tuju kadar tukaran USD menghadapi ketidakpastian pada suatu masa kelak.
Yi Gang berkata, walaupun kadar tukaran RMB dengan USD menurun baru-baru ini, tetapi volatilitinya masih kecil berbanding dengan mata wang negara-negara lain. Kadar tukaran mata wang entiti ekonomi maju seperti Yen Jepun, EURO dan Franc Switzerland dengan Dolar Amerika masing masing menurun 10.5 peratus, 5.8 peratus dan 4.2 peratus sejak Oktober yang lalu. Sementara itu, kadar tukaran mata wang entiti ekonomi baharu seperti Ringgit Malaysia, Won Korea Selatan dan Peso Mexico dengan Dolar Amerika masing-masing menurun 7.2 peratus, 6.5 peratus dan 6.1 peratus. Tetapi kadar tukaran RMB dengan USD hanya menurun 3.5 peratus pada tempoh yang sama.
Terdapat banyak unsur yang mempengaruhi kadar tukaran mata wang sesebuah negara termasuk situasi politik, pertumbuhan ekonomi, bursa saham dan pasaran bon serta perubahan unjuran ekonomi. Pada masa ini, ekonomi China berkembang dengan stabil, dasar monetari agak mantap. Sementara itu, pemulihan ekonomi AS pun amat kuat.
Walaupun rizab simpanan mata wang asing di China menurun baru-baru ini, tetapi jumlahnya tetap nombor satu di dunia. Jumlah rizab mata wang asing di China menduduki kira-kira 30 peratus keseluruhan dunia dan merupakan 2.6 dan 5.7 kali ganda berbanding dengan Jepun dan Arab Saudi yang menduduki tangga kedua dan tangga ketiga di dunia. Rizab mata wang asing di China adalah memadai bagi perdagangan, perkhidmatan, pelanjutan pelajaran di luar negara serta pelancongan luar negeri (outbound tourism).