Cari:
Geun-hye Sedia Letak Jawatan
2016-11-30 15:10:40 CRI Cetak

Presiden Korea Selatan, Park Geun-hye dalam ucapan yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen semalam, menyatakan kesedia­annya berundur lebih awal dan menyerahkan isu peletakan jawatan termasuk pengurangan penggal pentadbiran beliau untuk diputuskan oleh Parlimen.

Ini merupakan kali pertama Geun-hye menyatakan sikap jelas mengenai isu tersebut sejak terbongkarnya skandal membabitkan teman rapatnya, Choi Soon-sil yang didakwa campur tangan dalam urusan pentadbiran negara.

Menurut penganalisis, keputusan Geun-hye untuk membiarkan Parlimen menentukan nasibnya dianggap helah bagi melambatkan usaha tiga parti pembangkang utama untuk memuktamadkan usul pendakwaan terhadap beliau, yang turut mengundang unsur ketidaktentuan dalam arena politik Korea Selatan.

Geun-hye dalam ucapannya menyatakan bahawa beliau bersedia meletakkan jawatan asalkan Parlimen mengusulkan langkah peralihan kuasa dalam cara yang dapat mengelak sebarang ketidaktentuan dalam pentadbiran.

Penganalisis berpendapat, Geun-hye berbuat demikian berikutan tekanan daripada tiga aspek, iaitu popularitinya semakin rendah, tindakan parti pembangkang terus mendesak usul pendakwaan berkenaan diluluskan serta kehilangan sokongan penyokongnya dalam parti pemerintah.

Langkah Geun-hye ditolak bulat-bulat oleh kem pembangkang yang menyifatkannya sebagai taktik Presiden bagi mengelak pendakwaan di mahkamah dan mereka akan membawa usul peletakan jawatan pemimpin itu mengikut jadual.

Park Jie-won, pemimpin Parti Rakyat, parti pembangkang kedua terbesar di Korea Selatan, melemparkan kritikan bahawa Geun-hye meminta Parlimen untuk menentukan nasibnya tanpa menyebut tarikh pengunduran kerana beliau yakin parti pemerintah dan pembangkang mustahil mencapai kata sepakat.

Wakil parti pemerintah, Parti Saenuri pula menyatakan bahawa ucapan tersebut sebenarnya adalah keputusan rasmi Geun-hye untuk mengundirkan diri, di samping menggesa parti pembangkang mempertimbangkan kembali usul pendakwaan berkenaan.

Demi memastikan kelancaran peralihan kuasa seperti yang dihendaki Geun-hye, Parlimen mesti memulakan prosedur untuk mencalonkan perdana menteri dan menubuhkan kabinet berkecuali, yang bakal memakan masa agak panjang. Dalam tempoh itu, Geun-hye masih merupakan pemimpin negara. Sementara itu, usul pendakwaan tersebut berdepan risiko digugurkan jika tiada sokongan daripada golongan anti-Park Geun-hye dalam parti pemerintah. Seandainya diluluskan, jawatan beliau hanya digantung buat sementara hingga keputusan muktamad diumumkan Mahkamah Perlembagaan, yang mungkin mengambil masa selama 180 hari.

Pertikaman lidah antara pembangkang dan pemerintah, jika berlarutan, dikhuatiri akan mencetuskan pergolakan yang lebih besar di republik itu.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China