Cari:
PBB Tingkat Sekatan terhadap DPRK
2016-12-01 14:05:16 CRI Cetak

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) sebulat suara meluluskan satu resolusi baharu untuk mengenakan sekatan yang lebih ketat ke atas Republik Rakyat Demokratik Korea (DPRK) susulan ujian nuklear kelima dan paling kuat setakat ini yang dilakukan Pyongyang pada 9 September lalu.

Resolusi yang diluluskan pagi Rabu lalu itu turut disambut baik oleh Setiausaha PBB, Ban Ki-moon, yang menyifatkan sinergi masyarakat antarabangsa itu sebagai amat signifikan untuk menghadapi cabaran keselamatan dari Semenanjug Korea dan memelihara kestabilan di rantau itu. Beliau menggesa supaya Pyongyang dapat menggantung semua kegiatan nuklearnya dan kembali duduk di depan meja perundingan. Ban menekankan pentingnya keterlibatan DPRK untuk memikul tanggungjawab berkenaan dalam meredakan ketegangan di Semenanjung Korea menerusi dialog, di samping mendakwa bahawa sekatan hanyalah satu cara untuk mewujudkan kestabilan dan keamanan yang berkekalan.

Difahamkan, resolusi terbaru itu mengehadkan kegiatan eksport Pyongyang ke luar negeri, yang membabitkan arang batu, tembaga, perak, nikel dan zink, selain menyekat aktiviti misi diplomatik DPRK.

Pada 9 September lepas, DPRK mendakwa berjaya melakukan ujian peledak nuklear yang boleh dipasang pada peluru berpandu sehingga mengundang kecaman yang pedas dari pelbagai pihak atas tindakan melulunya.

Letupan di tapak nuklear Punggye-ri adalah ujian kelima dan paling kuat setakat ini, yang dikatakan menghampiri kekuatan bom atom yang menggegarkan Hiroshima pada 1945.

Media tempatan Pyongyang melaporkan, ujian berkenaan yang dijalankan selepas beberapa siri ujian peluru berpandu balistik didakwa mencapai matlamatnya untuk memuatkan peledak nuklear bersaiz kecil ke dalam roket.

Pyongyang sering kali menerima tekanan daripada PBB untuk menghentikan ujian nuklear yang dijalankan sejak 2006, namun mereka bertegas meneruskan kerana khuatir akan ancaman Amerika Syarikat (AS).

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China