Cari:
Misi Perangi IS Masih Mencabar
2016-12-13 15:03:42 CRI Cetak

Keyakinan masyarakat antarabangsa untuk menumpaskan Negara Islam (IS) habis-habisan menjadi goyah apabila Palmyra, kota purba di tengah Syria sekali lagi diduduki semula oleh kumpulan militan itu kelmarin.

Sebelum ini, IS terus-menerus dikalahi di Iraq dan Syria. Kebangkitan semulanya kali ini memang di luar sangkaan seluruh dunia.

Pada Mac lalu, atas bantuan Rusia, tentera kerajaan Syria berjaya menawan semula Palmyra yang dikuasai IS sejak Mei tahun lepas.

Jika dilihat secara teliti, kejatuhan Palmyra ke tangan IS bukanlah sesuatu yang berlaku secara kebetulan.

Sejak akhir tahun lepas, IS kehilangan banyak wilayah yang dikuasai di Iraq dan Syria. Dalam keadaan itu, IS pasti akan berbalas dendam untuk memulihkan semangat anggotanya, sejurus selepas menentukan sasaran serangan dan waktu bertindak.

Palmyra, yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, mudah diserang dan sukar dilindungi kerana tiada penampan semula jadi di sekelilingnya. Maka, tidak berapa sukar bagi IS untuk menawan semula bandar purba itu, yang juga menjadi penggalak kepada anggota militan tersebut.

Meskipun Palmyra kembali jatuh ke tangan IS, namun kekuatan utama IS di Syria dan Iraq masih dalam keadaan terkepung. Jika semua pihak sehati sejiwa dan bergabung tenaga untuk menawan semula dua kubu utama IS iaitu Mosul dan Ar Raqqah, nescaya akan meletakkan asas yang kukuh untuk memerangi kumpulan militan itu hingga ke akar umbi.

Pada masa yang sama, penawanan semula Palmyra oleh IS juga memberi amaran kepada masyarakat antarabangsa bahawa IS masih berupaya bangkit kembali, walaupun mengalami tamparan yang begitu hebat, sekaligus mencerminkan misi memerangi keganasan masih mencabar.

Hanya dengan sinergi bersepadu seluruh masyarakat antarabangsa, barulah perjuangan itu dapat mencapai kemenangan besar pada akhirnya.   

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China