Syarikat Yahoo Amerika Syarikat (AS) semalam mengaku data sekurang-kurangnya 1 bilion pengguna diceroboh. Ini satu lagi kebocoran maklumat sejak pencerobohan pada September lalu yang membabitkan 500 juta akaun pengguna.
Ketua Pegawai Keselamatan Maklumat Yahoo, Bob Lord menjelaskan, pencerobohan berlaku pada Ogos 2013. Pihak ketiga telah menceroboh data lebih 1 bilion pengguna.
Antara data yang dicuri termasuklah nama pengguna, e-mel, nombor telefon, tarikh lahir, dan beberapa soalan keselamatan.
Beliau turut menjelaskan bahawa data yang dicuri itu tidak termasuk kata laluan, maklumat kad pembayaran dan maklumat akaun bank kerana data tersebut tidak disimpan dalam sistem Yahoo yang diceroboh itu.