Tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menandatangani perintah eksekutifnya yang menyekat kemasukan rakyat dari tujuh negara majoriti Islam baru-baru ini mengundang kritikan keras daripada kalangan masyarakat Eropah.
Canselor Jerman, Angela Merkel menuduh tindakan AS itu bertentangan dengan konsep asas bantuan antarabangsa untuk pelarian dan kerjasama di peringkat antarabangsa.
Beliau menegaskan, perjuangan memerangi keganasan adalah penting dan tegas, tetapi bukan satu alasan kukuh untuk mencetuskan perasaan curiga secara umum ke atas penduduk beragama Islam atau individu daripada latar belakang tertentu.
Dalam pada itu, jurucakap Suruhanjaya Eropah, Margaritis Schinas dalam sidang media berkata, Kesatuan Eropah (EU) akan memperlakukan setiap individu secara sama rata tanpa mengira kewarganegaraan, bangsa, kepercayaan dan agama mereka.
Wakil kanan EU bagi dasar luar dan keselamatan, Frederica Mogherini juga berjanji akan terus memberikan perlindungan kepada golongan pelarian.