Cari:
Menteri Luar China Bentangkan Konsep Dasar Luar China
2017-03-08 17:27:05 CRI Cetak

Menteri Luar China, Wang Yi telah menjawab soalan media mengenai pelbagai isu yang menjadi tumpuan masyarakat antarabangsa dalam sidang akhbar sempena berlangsungnya Sidang Tahunan Kongres Rakyat Kebangsaan China hari ini.

Mengenai Forum Kemuncak Kerjasama Antarabangsa "Jalur dan Laluan" (B&R) yang bakal diadakan di China pada bulan Mei nanti, Wang Yi menyatakan bahawa meskipun inisiatif tersebut dikemukakan oleh China, faedahnya akan dikongsikan bersama oleh pelbagai negara. China berharap forum kali ini dapat mencapai hasil dari tiga aspek: pertama, mencapai persepakatan, mencari persamaan dalam strategi pembangunan pelbagai negara, menggariskan hala tuju yang saling melengkapi dan mencapai kemakmuran bersama.

Kedua, menyusun kerjasama dalam sektor utama, menentukan pelbagai program kerjasama penting yang berkaitan dengan infrastruktur, kesalinghubungan, perdagangan dan pelaburan, sokongan kewangan serta pertukaran sosiobudaya.

Ketiga, mengemukakan langkah kerjasama bagi jangka panjang dan sederhana, membincangkan mekanisme kerjasama jangka panjang pembangunan B&R, menjalinkan jaringan perkongsian yang lebih rapat dan pragmatik.

Ketika menyebut tentang hubungan China-AS, Wang Yi berkata, hubungan China-AS sedang berkembang ke arah positif. Pada bulan Februari, Presiden Xi Jinping telah berkomunikasi dengan rakan sejawatnya dari AS, Donald Trump melalui telefon. Kedua-dua pihak telah menegaskan peri pentingnya prinsip "Satu China" serta komited menggalakkan hubungan bilateral berkembang dari titik permulaan yang baharu dan mencapai kemajuan yang lebih besar. Hal tersebut akan menjadi panduan dalam mengembangkan hubungan China-AS .

Mengenai situasi Semenanjung Korea yang semakin meruncing, Wang Yi mengemukakan cadangan China, iaitu Republik Rakyat Demokratik Korea (DPRK) perlu segera menghentikan aktiviti nuklear, manakala AS dan Republik Korea perlu segera menghentikan latihan ketenteraan bersama bagi meredakan keadaan krisis keselamatan yang ada sekarang dan memulihkan rundingan damai.

Mengenai hubungan China-Republik Korea, Wang Yi berkata, tindakan AS dan Republik Korea menempatkan sistem antipeluru berpandu Pertahanan Kawasan Terminal Altitud Tinggi (THAAD) telah mengakibatkan perselisihan yang serius, sekali gus menjadi masalah terbesar yang menjejaskan hubungan China-Republik Korea. China menggesa Republik Korea agar segera menghentikan penempatan THAAD bagi mengelakkan risiko yang lebih serius.

Dalam sidang akhbar tersebut, Wang Yi juga menjelaskan konsep dasar luar China. Menurut beliau, pelbagai negara di dunia ini tidak patut dibahagikan menjadi negara yang memimpin dan negara yang dipimpin. Negara besar, yang mempunyai lebih banyak sumber dan kemampuan yang lebih besar, sepatutnya memikul lebih banyak tanggungjawab dan memberikan lebih banyak sumbangan. Sebagai anggota tetap Majlis Keselamatan PBB, China bersedia untuk menunaikan kewajiban dan memikul tanggungjawab untuk memelihara kedamaian dan keselamatan antarabangsa. Sebagai entiti ekonomi kedua terbesar di dunia, China bersedia untuk memberikan sumbangan bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi. Sebagai negara membangun yang terbesar, China juga bersedia memainkan peranan yang lebih besar dalam usaha menjaga hak dan kepentingan pelbagai negara membangun.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China